GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Agensi

Wellington: Suami isteri yang menaiki pesawat Qantas Airways dari Bangkok, Thailand ke Sydney, Australia menempuh pengalaman kurang menyenangkan apabila mendakwa duduk di kerusi yang basah dengan air kencing.

Pasangan berasal dari New Zealand terbabit menuntut bayaran balik sepenuhnya terhadap tambang yang dibayar bagi penerbangan mengambil masa 10 jam itu.

Pada awalnya, Qantas Airways menolak tuntutan itu, namun akhirnya memohon maaf dan membayar pasangan terbabit selepas siri perbalahan yang berlanjutan.

Hindustan Times yang memetik NZ Herald melaporkan ketika dalam pesawat, pasangan itu meletakkan barangan mereka di ruang bawah depan tempat duduk, namun apabila mahu mengambil barang itu, mereka mendapati ia basah termasuk bantal Qantas.

Mereka kemudian menyimpan barangan lain di kompartmen di atas kepala dan menerima bantal baru.

Bagaimanapun apabila menemui seluar dalam kanak-kanak di bawah tempat duduk mereka, pasangan itu membuat kesimpulan bahawa cecair yang mengotorkan barang mereka bukan air, sebaliknya air kencing.

Apabila membuat laporan, penyelia syarikat penerbangan itu menawarkan 10,000 mata Qantas sebagai ganti rugi tetapi ditolak pasangan berkenaan kerana mereka memutuskan untuk tidak lagi menaiki penerbangan dengan Qantas Airlines.

Mereka menuntut bayaran penuh dan menambah "tawaran mata ganjaran itu tidak setara dengan hakikat mereka duduk di atas sisa najis."

Perbalahan suami isteri itu dan syarikat penerbangan berlanjutan dengan beberapa siri balasan emel sehinggalah syarikat akhirnya bersetuju membayar balik tambang dan memohon maaf.

Namun tiada sebarang kenyataan dikeluarkan berhubung cecair yang terdapat di lantai pesawat ketika kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 January 2024 @ 3:47 PM