TENTERA Israel menjalankan operasi di al-Bureij, tengah Gaza pada Isnin. FOTO AFP
TENTERA Israel menjalankan operasi di al-Bureij, tengah Gaza pada Isnin. FOTO AFP
Agensi

Baitulmaqdis: Penilaian sulit Agensi Perisikan Pertahanan (DIA) di Washington mendapati tentera Israel sukar untuk berjaya dalam perang two-front war (memerangi dua wilayah serentak) menentang Hamas di Gaza dan pada masa sama memerangi Hizbullah di Lubnan, lapor Washington Post pada Ahad.

The Palestine Chronicle yang memetik laporan itu melaporkan sejak permulaan perang Israel ke atas Gaza pada 7 Oktober, gerakan Hizbullah sudah terbabit secara langsung, sekali gus secara relatifnya dalam cara yang terhad dalam perang menentang pendudukan Israel.

Berikutan pembunuhan timbalan pemimpin Hamas, Saleh al-Arouri di Beirut, pemimpin Hizbullah, Hassan Nasrallah, berkata bahawa tindak balas tidak dapat dielakkan.

Nasrallah dalam ucapan di televisyen pada Jumaat, untuk kali kedua dalam beberapa hari, berkata Hizbullah tidak boleh berdiam diri mengenai pelanggaran tahap itu, menekankan kekurangan tindak balas akan menjadikan Lubnan terdedah kepada kejadian sama seperti Gaza.

Beliau menegaskan, pejuang Hizbullah sudah melakukan kira-kira 670 operasi ketenteraan di sempadan Lubnan dengan Israel sejak 8 Oktober, sehari selepas operasi Banjir Al-Aqsa.

Bagi Israel pula, Perdana Menteri Benjamin Netanyahu berjanji untuk membuat perubahan asas kepada keadaan keselamatan di sepanjang sempadan Lubnan-Israel.

Menurut Washington Post, pegawai Amerika Syarikat (AS) secara peribadi sudah memberi amaran kepada Netanyahu supaya tidak membuka perang kedua terhadap Hizbullah.

"Sekiranya Israel berbuat demikian, penilaian rahsia terbaharu daripada DIA mendapati sukar bagi Pasukan Pertahanan Israel (IDF) untuk berjaya kerana aset dan sumber ketenteraannya akan tersebar terlalu tipis memandangkan konflik dalam Gaza," laporan memetik dua pegawai tanpa nama dan laporan sulit Agensi Perisikan Pertahanan.

Pegawai berkenaan bimbang konflik berskala penuh antara Israel dan Lubnan akan mengatasi pertumpahan darah perang Israel-Lubnan 2006 kerana senjata Hizbullah yang jauh lebih besar bagi senjata jarak jauh dan tepat.

Memetik pegawai yang turut memberi amaran bahawa kumpulan Hizbullah boleh menyasarkan sasaran sensitif seperti loji petrokimia dan reaktor nuklear Israel.

Selain itu, AS bimbang peningkatan selanjutnya boleh menarik Iran dan kuasa proksi lain ke dalam konflik, kemungkinan yang boleh memaksa AS untuk bertindak balas secara ketenteraan bagi pihak Israel.

"Dalam pentadbiran AS, terdapat persepsi yang berbeza tentang kepentingan Netanyahu dalam penyelesaian rundingan bagi konflik Hizbullah," lapor Washington Post.

Laporan itu menambah bahawa beberapa pegawai AS berpendapat bahawa 'jika perang Gaza berakhir esok, karier politik Netanyahu akan berakhir dengan itu, memberi insentif kepadanya untuk meluaskan konflik.'

Pemimpin Israel itu menghadapi bantahan yang meluas sebelum permulaan perang, dan tinjauan baru-baru ini menunjukkan bahawa popularitinya telah jatuh.

Setiausaha Negara AS Antony Blinken tiba di Jordan pada Ahad, menjelang lawatan ke Israel, Tebing Barat, Qatar, Emiriah Arab Bersatu, Arab Saudi dan Mesir.

"Kami mempunyai tumpuan yang kuat untuk mencegah konflik daripada merebak," kata Blinken dilaporkan sebelum bertemu Raja Jordan Abdullah II dan Menteri Luar Ayman Safadi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 January 2024 @ 4:01 PM