PENYELAMAT Israel berjalan di hadapan kedai yang musnah terkena bedilan roket Hamas di Tel Aviv. FOTO AFP.
PENYELAMAT Israel berjalan di hadapan kedai yang musnah terkena bedilan roket Hamas di Tel Aviv. FOTO AFP.
Agensi

Ramallah: Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) Antony Blinken menggesa pihak berkuasa Palestin memulihkan keamanan dan kestabilan di Tebing Barat, susulan serangan mengejut Hamas semalam.

Dalam panggilan telefon bersama Presiden Palestin Mahmoud Abbas, Blinken mengulangi 'kecaman tegas AS berhubung serangan Hamas terhadap Israel' dan menyeru semua kepimpinan rantau mengutuk tindakan itu.

"Setiausaha Blinken menggesa Pihak Berkuasa Palestin untuk meneruskan dan meningkatkan langkah dalam memulihkan ketenangan dan kestabilan di Tebing Barat," kata jurucakap Jabatan Negara AS.

Dalam pada itu, Abbas memberitahu Blinken bahawa 'ketidakadilan' terhadap rakyat Palestin mendorong konflik dengan Israel 'meletup'.

Menurut agensi berita Palestin WAFA Abbas berkata, peningkatan semasa di rantau adalah disebabkan 'amalan penjajah dan pendudukan Israel, serta pencerobohan terhadap kesucian Islam dan Kristian'.

Presiden Palestin itu yang turut berhubung dengan Presiden Emmanuel Macron, menggesa Perancis untuk segera campur tangan dalam menghentikan pencerobohan Israel terhadap rakyat Palestin, termasuk oleh pasukan pendudukan dan kumpulan peneroka pelampaunya.

Hamas melancarkan Operasi Banjir Al Aqsa pada Sabtu yang mengejutkan dunia dengan lebih 5,000 roket dilepaskan dari Semenanjung Gaza ke wilayah diduduki Israel.

Susulan itu, tentera Israel memulakan serangan Operasi Pedang Besi terhadap Hamas di Semenanjung Gaza.

Sekurang-kurangnya 232 rakyat Palestin terkorban dalam serangan itu, menurut sumber perubatan di Gaza, manakala pihak berkuasa Israel meletakkan angka kematian rakyatnya pada 300.

Berita berkaitan:

Serangan udara Israel korbankan lebih 160 rakyat Palestin

Israel 'kini sedang berperang' - Netanyahu

Angka kematian serangan Palestin, Israel meningkat

Serangan ke atas Israel adalah pertahanan diri Palestin - Iran

Hamas tangkap tentera Israel tuntut pembebasan tahanan Palestin

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Oktober 2023 @ 11:42 AM