PENDUDUK Palestin melihat kereta dinaiki keluarga Ismail Haniyeh yang dibedil tentera Israel pada Aidilfitri lalu. FOTO AFP.
PENDUDUK Palestin melihat kereta dinaiki keluarga Ismail Haniyeh yang dibedil tentera Israel pada Aidilfitri lalu. FOTO AFP.
Bernama-Anadolu

Istanbul: Malak Haniyeh, cucu perempuan kepada pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh meninggal dunia pada Isnin, selepas mengalami kecederaan dalam serangan Israel yang mengorbankan ahli keluarganya yang lain pada hari pertama Aidilfitri, sumber perubatan memberitahu Agensi Anadolu.

Tiga anak lelaki Ismail dan beberapa cucunya maut pada Rabu lalu dalam satu serangan udara Israel di sebuah kem pelarian di barat Bandaraya Gaza.

Serangan udara Israel itu menyasarkan sebuah kereta membawa keluarga Ismail di Kem Pelarian Al-Shati semasa mereka mengucapkan selamat menyambut Aidilfitri kepada penghuni kem berkenaan, saksi memberitahu Anadolu.

Sumber perubatan memberitahu Anadolu bahawa serangan udara itu meragut nyawa tiga anak lelaki Ismail – Hazem, Amir, dan Mohammed – selain beberapa orang anak mereka dan mencederakan yang lain.

Israel melancarkan serangan ke atas Semenanjung Gaza sejak 7 Okt 2023, membunuh lebih daripada 33,700 warga Palestin dan mencederakan 76,400 orang selain daripada kemusnahan kediaman dan infrastruktur pada skala besar dan mengakibatkan kekurangan bekalan keperluan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 April 2024 @ 7:44 AM