WANITA itu mencampakkan bayinya ke bawah bangunan. FOTO Weibo
WANITA itu mencampakkan bayinya ke bawah bangunan. FOTO Weibo
WANITA itu memerhatikan keadaan sebelum mencampak bayinya. FOTO Weibo
WANITA itu memerhatikan keadaan sebelum mencampak bayinya. FOTO Weibo
Agensi

Beijing: Seorang ibu di China terpaksa mencampakkan bayinya dari tingkat empat sebuah apartmen, selepas bangunan itu mengalami kebakaran, Rabu lalu.

Rakaman ikhtiar terakhir wanita itu bagi menyelamatkan nyawa bayinya tular di media sosial, lapor Metro UK.

Bayi berusia enam minggu itu dicampak dari tingkap sebelum sekumpulan orang awam menyambutnya dengan membentangkan cadar bagi mengurangkan risiko kecederaan.

Kejadian mendebarkan itu berlaku di sebuah blok kediaman di daerah Yongjia, Wenzhou, wilayah Zhejiang.

Pada masa sama, asap tebal dilihat berkepul keluar dari tingkap di belakang wanita itu.

Dalam video itu, ibu berkenaan dilihat mengeluarkan bayinya dari tingkap secara perlahan-lahan sebelum menjatuhkannya dari ketinggian sekurang-kurangnya sembilan meter.

Bayi itu yang terselamat selepas terjatuh pada cadar yang dibentang orang ramai sebelum dibawa ke hospital untuk pemeriksaan.

Mangsa dilaporkan berada dalam keadaan sihat.

Dalam pada itu, media tempatan melaporkan bomba bergegas ke lokasi kebakaran di Jalan Utara Huancheng.

Lapor saluran berita, CTWANT, pasukan bomba juga berjaya menyelamatkan ibu, nenek dan beberapa kanak-kanak dan orang dewasa lain, dari dalam bangunan yang terbakar.

Jabatan bomba tempatan mengesahkan tiada kemalangan jiwa dan kecederaan serius dilaporkan dalam kejadian itu.

Katanya, pihaknya masih menyiasat punca kebakaran yang bermula di tingkat satu, sebelum merebak dengan cepat ke seluruh bangunan.

"Asap tebal yang memenuhi tangga antara cabaran yang menyukarkan operasi menyelamat mangsa yang terperangkap di dalam rumah.

"Orang ramai sepatutnya perlu menutup pintu dan menggunakan pakaian atau objek lain untuk menutup lubang terbuka sementara menunggu untuk diselamatkan.

"Kita juga mahu menasihatkan orang ramai tidak mencampak kanak-kanak dari bangunan kerana ia berisiko tinggi," katanya.

Sementara itu, pemilik kedai berhampiran, Wang berkata, setiap pemilik premis menggunakan alat pemadam api masing-masing bagi membantu meredakan kebakaran yang berjaya dikawal dalam masa singkat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Julai 2023 @ 12:51 PM