AFP

Chiang Mai: Kerajaan Thailand pada Jumaat menggesa penduduk di bandar Chiang Mai, utara Thailand tidak berada di luar rumah susulan jerebu meningkat ke tahap berbahaya.

Kebakaran hutan dan aktiviti membakar sisa tanaman menyebabkan kawasan pelancongan popular itu berlaku pencemaran udara sejak beberapa minggu lalu.

Laman web pemantauan udara IQAir meletakkan Chiang Mai sebagai bandar paling tercemar di dunia, mengatasi kawasan panas lain seperti Delhi dan Lahore.

Menurut IQAir, indeks pencemaran udara (IPU) paling berbahaya adalah pada paras 2.5 berdasarkan garis panduan kesihatan sedunia.

Gabenor Wilayah Chiang Mai, Nirat Pongsittitavorn dalam kenyataan menggesa orang ramai untuk berada di rumah dan bekerja dari rumah bagi melindungi diri serta mengurangkan kesan kepada kesihatan akibat paras IPU 2.5.

Thailand mengalami jerebu sejak awal tahun, sebahagiannya disebabkan oleh pembakaran pertanian bermusim.

Kementerian Kesihatan memaklumkan, hampir dua juta orang memerlukan rawatan hospital akibat masalah pernafasan.

Pegawai sebelum ini memberi amaran kepada penduduk Bangkok untuk tidak berada di luar pada Februari lalu kerana ibu kota itu diselubungi jerebu berbahaya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 April 2023 @ 3:56 PM