MUKAAB, akan menjadi tarikan baharu di Arab Saudi pada 2030. FOTO Agensi.
MUKAAB, akan menjadi tarikan baharu di Arab Saudi pada 2030. FOTO Agensi.
Agensi

Riyadh: Arab Saudi melancarkan projek mega baharu, Mukaab atau kiub gergasi yang akan mempunyai pilihan hiburan, hotel dan restoran.

Portal DW melaporkan, projek kiub berketinggian 400 meter yang dilancarkan Putera Mahkota Mohammed Salman akan mula dibina tidak lama lagi dan dijadualkan siap pada 2030.

Bagaimanapun, kos pembinaan kiub baharu menyerupai mercu tanda terpenting di Arab Saudi iaitu Kaabah itu belum didedahkan.

Penganalisis Politik Universiti Cambridge, Bruno Schmidt-Feuerheerd memberitahu DW bahawa seni bina berbentuk kiub itu tidak seunik Kaabah.

Perancangan Kaabah komersial itu bukanlah langkah ke arah identiti kebangsaan baharu yang tidak lagi terikat dengan agama.

Titah bapa Putera Mahkota Raja Salman pada 2022 memperkenalkan 22 Februari sebagai cuti penubuhan negara Saudi manakala Hari Kebangsaan negara itu disambut pada 23 September.

Pada Februari lalu, Arab Saudi merayakan hari penubuhannya yang kedua selama empat hari dengan acara dan bunga api di seluruh negara.

Schmidt-Feuerheerd berkata, tarikh berkenaan tidak mempunyai asas sejarah dan niat di sebalik ini adalah dorongan nasionalis untuk meraikan cutinya sendiri dan bukan agama.

Pada 2022, Putera Mahkota mengumumkan bahawa tarikh penubuhan negara diubah dari 1744 kepada 1727 dikaitkan dengan perjanjian antara keluarga Saud yang memerintah dan ulama Mohammed Ibn Abd al-Wahhab mengilhami istilah Wahabi yang dominan di Arab Saudi sejak pertengahan abad ke-18.

Kata Schmidt-Feuerheerd, tafsiran baharu hari penubuhan itu jelas merendahkan peranan agama.

Selain itu, pada 11 Mac ini diumumkan cuti hari bendera.

Minggu ini, Kementerian Hal Ehwal Islam Saudi mengumumkan perubahan besar peraturan untuk Ramadan yang bermula pada 22 Mac.

Bagi penganalisis Sami Hamdi, ini menandakan langkah seterusnya ke arah identiti baharu Arab Saudi tanpa Islam sebagai tonggak utama.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Mac 2023 @ 12:35 PM