PERDANA Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada pertemuan dengan Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed Salman Abdulaziz Al-Saud. FOTO IHSAN PMO
PERDANA Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada pertemuan dengan Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed Salman Abdulaziz Al-Saud. FOTO IHSAN PMO
Daripada Jamaluddin Muhammad

Riyadh: Permohonan untuk kuota tambahan jemaah haji Malaysia bagi musim haji tahun ini antara perkara penting dijangka dibangkitkan Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa Perdana Menteri menghadap Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed Salman Abdulaziz Al-Saud di sini, hari ini.

Peningkatan penduduk Malaysia antara permintaan untuk permohonan tambahan kuota itu.

Menurut laman web Tabung Haji, kerajaan Arab Saudi menetapkan kuota haji setiap negara pada kadar 0.1 peratus daripada jumlah penduduk negara berkenaan.

Selain soal kuota haji, Muhyiddin dijangka membangkitkan isu kebenaran kepada jemaah Malaysia mengerjakan ibadah umrah secepat mungkin pada pertemuan dengan Putera Mahkota, yang juga Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan.

Pertemuan dengan Putera Mahkota itu kemuncak lawatan rasmi empat hari Muhyiddin ke negara itu.

Memperkukuhkan hubungan dua hala dijangka menjadi topik perbincangan pada pertemuan berkenaan.

Dalam hubungan ini, satu Majlis Penyelarasan Saudi-Malaysia dijangka ditubuhkan.

Ia akan berfungsi sebagai platform dua hala yang luas untuk rundingan tetap dalam mengeratkan kerjasama dalam pelbagai sektor.

Mengenai usaha mempromosikan minyak sawit Malaysia di negara ini, Muhyiddin sedang meneroka kemungkinan membuka pejabat Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) di Arab Saudi.

Perdagangan dan pelaburan dijangka akan dibincangkan oleh mereka termasuk potensi kerjasama dalam industri halal.

Perdana Menteri yang tiba di Arab Saudi, Sabtu lalu, singgah di Makkah terlebih dahulu untuk menunaikan ibadah umrah dan diberi peluang memasuki Kaabah.

Pada hari berikutnya, Muhyiddin pergi ke Madinah untuk melawat Masjid Nabawi dan mengunjungi Makam Rasulullah.

Beliau tiba di ibu negara ini semalam dan disambut Putera Mahkota sendiri.

Lawatan rasmi itu atas undangan Raja Arab Saudi, Raja Salman bin Abdulaziz Al-Saud, dilaksanakan di bawah prosedur operasi standard (SOP) ketat bagi mengekang pandemik Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Mac 2021 @ 11:05 PM