Anggota polis melihat kediaman penduduk kampung selepas gegaran gempa bumi 7.6 magnitud di Tanimbar, wilayah Maluku. - FOTO AFP
Anggota polis melihat kediaman penduduk kampung selepas gegaran gempa bumi 7.6 magnitud di Tanimbar, wilayah Maluku. - FOTO AFP
AP

Jakarta: Gempa bumi bermagnitud 7.6 yang kuat berlaku di Indonesia awal pagi ini turut memberi kesan hingga ke utara Australia.

Pusat gempa berkekuatan 7.6 magnitud adalah di Laut Banda, berhampiran pulau Tanimbar di wilayah Maluku yang mempunyai kira-kira 127,000 penduduk, menurut data 2021.

Gegaran dirasai di beberapa wilayah, termasuk wilayah Papua dan Nusa Tenggara Timur, serta di utara Australia.

Agensi Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik Indonesia mengeluarkan amaran tsunami yang ditarik balik tiga jam kemudian.

"Berdasarkan empat pemerhatian tolok air pasang di sekitar pusat gempa bumi, ia tidak menunjukkan sebarang anomali atau perubahan paras laut yang ketara," kata ketua agensi Dwikorita Karnawati.

Kajian Geologi AS berkata, pusat gempa berada pada kedalaman 105 kilometer tidak jauh dari hujung utara Australia.

Gempa yang lebih dalam cenderung menyebabkan kerosakan permukaan yang lebih sedikit daripada gegaran cetek tetapi lebih dirasakan secara meluas.

Lebih 1,000 orang di utara Australia, termasuk di bandar Darwin, melaporkan kepada Geosains Australia bahawa mereka merasai gempa itu. Pusat Amaran Tsunami Bersama Australia berkata gempa itu tidak menimbulkan ancaman tsunami kepada tanah besar atau mana-mana pulau atau wilayah.

Penyanyi Australia Vassy menulis di Twitter bahawa ia adalah gempa paling lama yang dia rasai.

"Kami berlari keluar dari rumah pada tengah malam. Saya tidak pernah mengalami gempa bumi yang berlarutan selama itu dan terasa begitu kuat. Ia agak menakutkan," tulis Vassy.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 January 2023 @ 4:59 PM