PERUNDING kecantikan patah tulang belakang dan mungkin tidak dapat berjalan selepas terjatuh dari tingkat dua balkoni resort. FOTO Agensi
PERUNDING kecantikan patah tulang belakang dan mungkin tidak dapat berjalan selepas terjatuh dari tingkat dua balkoni resort. FOTO Agensi
Agensi

Bangkok: Percutian impian seorang wanita yang juga perunding kecantikan bertukar tragedi selepas terjatuh dari balkoni bilik di resort tempatnya menginap.

Metro UK melaporkan, berikutan insiden itu, Maddi Neale-Shankster, 21, dimasukkan ke hospital Thailand dan didapati patah tulang belakang serta mungkin tidak akan dapat berjalan semula.

Akibatnya, darah dan cecair dari dadanya perlu dikeluarkan akibat kemalangan di pulau Ko Pha-Ngan.

Ibunya, Karen Moseley-Neale, terbang ke Thailand pada Ahad untuk berada di sisi anak perempuannya.

Maddi, dari Coventry, berada di Thailand untuk percutian selama tiga minggu bersama pasangannya dan menyambut tahun baru di pulau itu, yang terkenal dengan pesta bulan purnama.

Malangnya, Maddi terjatuh dari tingkat dua penginapan dikongsi bersama pasangan dengan jeritannya didengari oleh rakannya.

"Ia sepatutnya menjadi percutian seumur hidup sehingga Maddi jatuh dari balkoni.

"Prognosisnya tidak baik kerana tulang belakangnya patah dan memerlukan saluran ke dadanya untuk mengeluarkan darah dan cecair.

"Ada kemungkinan dia tidak boleh berjalan lagi. Maddi bekerja keras untuk berpindah ke premisnya sendiri pada musim bunga dan mempunyai masa depan yang cerah.

"Saya mohon jasa baik sesiapa yang mengenalinya untuk mendoakannya," kata Karen, yang mengendalikan salon kecantikan The Venue di Coventry.

Gambar bilik pasangan itu di resort di Ko Pha-Ngan kelihatan menunjukkan balkoni dengan pagar kayu rendah.

Menurut Karen, Maddi mula mendapatkan rawatan di sebuah hospital dekat Ko Pha-Ngan sebelum dipindahkan dengan menaiki bot selama tiga jam dan sejam melalui jalan darat ke Hospital Antarabangsa Surat Thani di tanah besar.

"Kami menunggu maklum balas daripada Kedutaan British dan kami cuba memastikan semua orang tahu perkembangan terkini sebaik mungkin," katanya.

#kw percutian, impian, wanita, tragedi, terjatuh, balkoni, bangkok, thailand, asia, xnstp

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 January 2023 @ 3:31 PM