Tentera Myanmar. FOTO EPA.
Tentera Myanmar. FOTO EPA.
Reuters

Yangon: Tentera Myanmar melancarkan serangan udara pada Ahad (10 April), menyasarkan pemberontakan etnik di Karen, ketika pertempuran baru meletus bagi mengawal bandar Lay Kay Kaw berhampiran sempadan Thailand.

Sejak Disember lalu, ribuan penduduk di Lay Kay Kaw, kira-kira 20 kilometer (km) dari sempadan Thailand sudah melarikan diri dari bandar itu yang menjadi tempat perlindungan penyokong prodemokrasi sejak rampasan kuasa tentera, tahun lalu.

Kesatuan Kebangsaan Karen (KNU), kumpulan pemberontak etnik tertua Myanmar berkata, tentera kelihatan memperkukuh kawalan di kawasan itu selepas pertempuran semalam.

"Mereka tidak berundur langsung. Mereka menghantar lebih ramai tentera," kata jurucakap KNU, Padoh Saw Taw Nee, yang mendakwa pejuang kumpulan itu telah membunuh 45 tentera dan hilang dua pejuangnya dalam kejadian Ahad.

Stesen televisyen, Public Voice Television yang disokong kerajaan bayangan sejak rampasan kuasa mendakwa, pemberontak menahan seorang kapten tentera ketika pertempuran terbabit.

Reuters bagaimanapun tidak dapat mengesahkan dakwaan itu dan jurucakap tentera tidak menjawab sebarang pertanyaan.

Sebahagian besar Lay Kay Kaw berada di bawah kawalan KNU, tetapi tentera Myanmar berusaha meletakkan pengaruhnya dan mengawal hingga pertempuran meletus pada Disember lalu apabila pihak itu cuba menangkap penduduk.

Pertempuran semalam pula terjadi selepas KNU menghalau tentera yang memasuki salah satu daerah, kata Podah Saw Taw Nee.

Sebagai balasan, tentera Myanmar melancarkan serangan udara, kata pemberontak dan media tempatan.

Penduduk di Mae Sot, kota di sempadan Thailand memberitahu mereka mendengar bunyi tembakan, yang rupa-rupanya adalah letupan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 April 2022 @ 3:58 PM