POLIS Jepun. FOTO Fail Reuters
POLIS Jepun. FOTO Fail Reuters
Agensi

Tokyo: Seorang lelaki di Jepun ditahan kerana membuat 2,060 panggilan kepada polis, dalam tempoh sembilan hari hanya untuk 'mendera' emosi pasukan keselamatan itu.

Sora News 24 melaporkan, suspek, lelaki berusia 67 tahun dan berasal dari Kawaguchi.

Dia didakwa menghubungi Polis Wilayah Saitama dan memberitahu bahawa mereka harus dipecat.

Bukan setakat itu, suspek turut memaki polis dengan kata-kata kesat dan menuduh mereka sebagai 'pencuri cukai'.

Siasatan menunjukkan lelaki itu menghubungi polis antara 30 September dan 8 Oktober, dengan jumlah keseluruhannya 2,060 panggilan.

Ia bermakna secara purata lelaki itu membuat panggilan setiap enam minit dan menghabiskan 27 jam untuk melakukan aktiviti itu.

Tindakannya itu bagaimanapun membawa padah apabila dia ditangkap pihak berkuasa, pada 28 November lalu.

Tidak jelas motif lelaki itu melakukan perbuatan berkenaan.

Bagaimanapun, hasil pemeriksaan polis pada rekod telefon lelaki itu menunjukkan dia berbuat demikian selama bertahun-tahun.

Perbuatan itu semakin menjadi-jadi sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

Sebelum ini dilaporkan bahawa seorang lelaki dari Saitama yang berusia 71 tahun membuat kira-kira 24,000 panggilan kesat kepada penyedia telekomunikasinya pada 2019.

Awal tahun ini, seorang lelaki dari Saitama yang berusia 48 tahun membuat kira-kira 9,000 tempahan tempat duduk kereta api sebelum untuk membatalkannya pada saat-saat akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Disember 2022 @ 12:35 PM