ROKET dilancarkan dari Gaza. FOTO Reuters
ROKET dilancarkan dari Gaza. FOTO Reuters
AFP

Baitulmaqdis: Pejuang Palestin melepaskan roket dari Gaza ke Israel pada Sabtu, namun tiada kecederaan dilaporkan, kata tentera, ketika keganasan berleluasa di Tebing Barat.

Menurut tentera Israel, ia adalah serangan pertama dalam tempoh sebulan dan setakat ini, tiada pihak mengaku bertanggungjawab.

Bagaimanapun, salah satu kumpulan bersenjata yang lebih besar di Gaza, Jihad Islam mahu bertindak balas selepas tentera Israel membunuh dua pemimpinnya di bandar Jenin, Tebing Barat, pada Khamis.

Saksi berkata, tentera Israel dengan pantas bertindak balas dengan menembak ke arah dua pos pemerhatian di timur Gaza, yang dikuasai oleh Hamas.

Serangan roket itu berlaku ketika pertumpahan darah di Tebing Barat dan insiden berkenaan mencetuskan kritikan di peringkat antarabangsa terhadap tentera Israel kerana menggunakan kekerasan terhadap orang awam Palestin.

Kritikan tertumpu kepada pembunuhan Ammar Hadi Mufleh, 22, dalam keadaan yang dipertikaikan di bandar Huwara, di selatan Nablus, Jumaat lalu.

Utusan Perdamaian PBB untuk Timur Tengah, Tor Wennesland berkata, beliau terkejut dengan pembunuhan itu semasa pergelutan dengan seorang askar Israel.

Kesatuan Eropah (EU) berkata, ia sangat bimbang dengan peningkatan tahap keganasan yang menyaksikan 10 rakyat Palestin dibunuh oleh pasukan keselamatan Israel sejak beberapa hari kebelakangan ini.

"Fakta yang tidak boleh diterima itu mesti disiasat dan mesti ada akauntabiliti penuh.

"Di bawah undang-undang antarabangsa, keganasan hingga mengakibatkan kematian hanya dibenarkan dalam situasi di mana terdapat ancaman serius yang boleh meragut nyawa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Disember 2022 @ 10:27 AM