LELAKI dan anaknya berjalan atas kereta yang dihanyutkan air akibat banjir kilat di Jeddah. FOTO AFP
LELAKI dan anaknya berjalan atas kereta yang dihanyutkan air akibat banjir kilat di Jeddah. FOTO AFP

Agensi

Jeddah: Pihak berkuasa mendedahkan, Jeddah menerima 965 milimeter hujan dalam tempoh enam jam pada Khamis lalu iaitu sekurang-kurangnya 15 kali purata hujan tahunan yang diterima oleh bandar itu.

Susulan itu, Jeddah dilanda hujan lebat dan banjir disertai ribut, guruh dan kilat.

Sekurang-kurangnya dua kematian dilaporkan ketika hujan lebat melanda Jeddah menyebabkan banjir kilat.

Saudi Press Agency (SPA) melaporkan, banjir kilat yang disebabkan oleh hujan lebat di Jeddah menyebabkan penerbangan ditangguhkan, menyekat jalan ke Makkah dan memaksa sekolah ditutup, kata pegawai.

Jalan ke Makkah bagaimanapun dibuka kemudian, kata pihak berkuasa.

Beberapa penerbangan di Lapangan Terbang King Abdulaziz turut ditangguhkan.

Sekolah juga ditutup di bandar berdekatan Rabigh dan Khulais bagi keselamatan pelajar.

BANDAR Jeddah dilanda banjir kilat menyebabkan dua kematian setakat ini. FOTO Agensi
BANDAR Jeddah dilanda banjir kilat menyebabkan dua kematian setakat ini. FOTO Agensi

"Dua kematian direkodkan setakat ini, dan kami menyeru semua orang untuk tidak keluar kecuali perlu," demikian ciapan di Twitter kerajaan wilayah Makkah.

Video malapetaka itu menunjukkan kenderaan hanyut dalam banjir kilat akibat hujan.

Beberapa video yang disiarkan oleh media tempatan menunjukkan sebuah bot yang didakwa milik Pertahanan Awam, mengangkut orang yang terkandas di jalan yang ditenggelami air.

"Air membanjiri beberapa kemudahan di bandar Raja Abdulaziz di Jeddah dan situasi ini ditangani mengikut pelan kecemasan yang ditetapkan," kata kenyataan Kementerian Hal Ehwal Kesihatan Pengawal Kebangsaan.

Jeddah sebuah bandar dengan kira-kira empat juta penduduk terletak di Laut Merah dan sering dirujuk sebagai 'pintu masuk ke Makkah'.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 November 2022 @ 10:13 AM