KESAN cuaca buruk di Jeddah. FOTO/AGENSI
KESAN cuaca buruk di Jeddah. FOTO/AGENSI
AFP

JEDDAH: Seramai 14 orang terbunuh akibat cuaca buruk di Arab Saudi sejak dua minggu lalu apabila negara pentadbiran diraja itu dilanda hujan lebat dan ribut petir yang menyaksikan situasi cuaca paling ekstrem sejak berdekad lalu, kata pihak berkuasa.

Direktorat Pertahanan Awam berkata, satu daripada kematian berlaku di Riyadh, empat kes direkodkan di Makkah, dua di Wilayah Timur, satu di Asir, Tabuk (satu), Al-Baha (tiga), Jazan (satu) dan Hail (satu).

Agensi berita Saudi (SPA) seperti dilaporkan laman web Arab News berkata, sejak 19 Oktober lalu, Pusat Arahan dan Bimbingan di Riyadh menerima 423 permohonan bantuan daripada pertahanan awam oleh kerana hujan lebat menjejaskan 13 kawasan di negara berkenaan.

Pasukan Pertahanan Awam menyelamatkan 299 penduduk yang terkandas, termasuk 115 di Makkah. Kebanyakan yang memerlukan bantuan terperangkap dalam kenderaan, di mana 88 berjaya dikeluarkan dan 282 kenderaan ditarik.

Pihak Berkuasa Perlindungan Alam Sekitar dan Meteorologi memberi amaran, cuaca buruk berikutnya dengan hujan di seluruh pentadbiran diraja bersama angin dan debu di sesetengah kawasan.

Penolong Setiausaha Kementerian Air, Faisal Al-Subaie berkata, Arab Saudi biasanya menyaksikan ribut petir sederhana dan teruk pada musim ini tahun ini, namun ribut tahun ini amat ganas.

Al-Subaie berkata, beberapa kawasan perbandaran menghantar pasukan untuk mengalirkan air berlebihan dan membersihkan pokok tumbang serta serpihan di jalanan.

Pada masa sama, Pertahanan Awam menggesa rakyat dan penduduk mengambil langkah berhati-hati dan tidak pergi ke kawasan banjir atau wadi, yang kemungkinan mengalami banjir kilat ketika hujan lebat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Oktober 2018 @ 8:20 PM