AFP

Bangkok: Polis Thailand melepaskan gas pemedih mata dan peluru getah ke arah ratusan peserta protes di Bangkok yang mahukan perubahan politik dan meminta penambahbaikan dalam program vaksinasi Covid-19.

Peserta melanggar larangan perhimpunan awam yang ditetapkan Thailand dalam usaha mengekang penularan Covid-19 dan mahu Perdana Menteri, Prayut Chan-O-Cha meletak jawatan.

Kerajaan Thailand berdepan kritikan selepas program vaksinasi yang perlahan, dan peserta protes meminta kerajaan mula menggunakan vaksin mRNA seperti Pfizer dan Moderna, berbanding vaksin keluaran China iaitu Sinovac.

Peserta demonstrasi mendesak peletakan jawatan Prayut. - FOTO AFP
Peserta demonstrasi mendesak peletakan jawatan Prayut. - FOTO AFP

Kira-kira 500 peserta protes menyertai perhimpunan berkenaan namun, angka berkenaan lebih rendah berbanding kehadiran anggota polis.

"Saya bimbang dengan situasi semasa namun kami perlu terus berjuang walaupun berdepan wabak yang teruk ini," kata peserta protes, Nat kepada AFP.

Gerakan protes yang mahukan demokrasi mula meningkat tahun lalu dengan kemuncak ribuan berkumpul di Bangkok meminta peletakan jawatan Prayut.

Polis melepaskan gas pemedih mata ke arah peserta demonstrasi di Bangkok. - FOTO EPA
Polis melepaskan gas pemedih mata ke arah peserta demonstrasi di Bangkok. - FOTO EPA

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Ogos 2021 @ 8:10 PM