PENUNJUK perasaan berhimpun bagi membantah pengebumian negara untuk Shinzo Abe. FOTO Reuters
PENUNJUK perasaan berhimpun bagi membantah pengebumian negara untuk Shinzo Abe. FOTO Reuters
Reuters

Tokyo: Pihak berkuasa Jepun meningkatkan kawalan keselamatan bagi memastikan upacara pengebumian negara untuk bekas perdana menteri, Shinzo Abe esok berjalan lancar tanpa sebarang kejadian tidak diingini.

Jepun kini sedang melaksanakan keselamatan berskala maksimum dengan mengerahkan puluhan ribu pegawai polis, termasuk kira-kira 2,500 anggota dari seluruh negara ditugaskan ke ibu negara dalam usaha meningkatkan keselamatan di Tokyo, lapor media tempatan.

Kira-kira 700 tetamu asing termasuk 50 bekas atau pemimpin semasa akan menghadiri pengebumian di Nippon Budokan, Tokyo.

Ia termasuk Perdana Menteri, Singapura Lee Hsien Loong; Naib Presiden Amerika Syarikat (AS), Kamala Harris; Perdana Menteri India, Narendra Modi; Presiden Vietnam, Nguyen Xuan Phuc dan presiden Majlis Eropah, Charles Michel.

Majlis itu juga menjadi titik kemarahan orang ramai terhadap skandal politik dan penentangan yang mendalam terhadap pengganti, Fumio Kishida.

Kerajaan rancang membelanjakan AS$16.5 juta (RM75.87 juta) untuk pengebumian itu termasuk untuk meningkatkan tahap keselamatan dan menjadi tuan rumah delegasi asing.

Kos yang tinggi itu sebahagiannya mencetuskan reaksi ramai kerana pengebumian yang dibiayai pembayar cukai.

Semalam, ratusan orang berkumpul berhampiran stesen Shinjuku yang sibuk di Tokyo dengan sepanduk dan pembesar suara untuk membantah pengebumian negara, lapor ABC News.

Kira-kira 62 peratus responden dalam tinjauan pendapat akhbar Mainichi, baru-baru ini, berkata, mereka menentang mengadakan pengebumian negara untuk Abe.

Antara alasan yang dikemukakan responden ialah bekas perdana menteri itu tidak layak menerima penghormatan tinggi.

Sebelum ini, pihak berkuasa Jepun serta Kishida mengakui kelemahan keselamatan menyumbang kepada kematian Abe.

Abe, pemimpin paling lama berkhidmat di Jepun era moden, maut ditembak dari jarak dekat semasa perhimpunan kempen, pada 8 Julai lalu.

Pembunuhan Abe menyentuh beberapa siri pendedahan mengenai hubungan antara penggubal undang-undang dalam Parti Liberal Demokratik yang pernah dipimpinnya dan Gereja Penyatuan, sebuah organisasi yang digelar pengkritik sebagai pemujaan.

Suspek pembunuh Abe menuduh gereja menjadi punca keluarganya muflis, menurut polis.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 September 2022 @ 12:26 PM