FUMIO Kishida kelihatan sebak ketika bercakap kepada pemberita. FOTO Epa
FUMIO Kishida kelihatan sebak ketika bercakap kepada pemberita. FOTO Epa
AFP

Tokyo: Perdana Menteri Jepun Fumio Kishida berkata, beliau 'hilang kata-kata' susulan pembunuhan bekas perdana menteri Shinzo Abe pada Jumaat.

"Saya berdoa beliau dapat diselamatkan. Namun, saya datang untuk mengetahui mengenai (kematian Abe).

"Ia amat dikesali. Saya kehilangan kata-kata. Saya mengucapkan takziah dan berdoa supaya rohnya tenang di sana," kata Kishida penuh emosi kepada pemberita.

Abe, Perdana Menteri Jepun paling lama berkhidmat yang meletak jawatan pada 2020 atas sebab kesihatan, ditembak mati ketika berkempen di wilayah Nara, menjelang pilihan raya.

"Dalam tempoh pilihan raya ini, satu tindakan keji dan biadab sudah dilakukan, meragut nyawa bekas perdana menteri Abe. Ini tidak boleh dimaafkan. Kami sekali lagi mengutuk dengan sekeras-kerasnya," kata Kishida.

Aktiviti berkaitan pilihan raya akan diteruskan dengan 'langkah penuh dan menyeluruh' akan diambil untuk memastikan keselamatan, kata Kishida, ketua Parti Liberal Demokratik (LDP) yang memerintah yang mana Abe turut menganggotainya.

"Kita mesti mempertahankan pilihan raya yang bebas dan adil, yang juga asas demokrasi. Kita akan meneruskan kempen pilihan raya esok seperti yang dirancang dan kita tidak akan tunduk kepada keganasan," katanya.

Abe 'memikul tanggungjawab berat sebagai perdana menteri selama lapan tahun lapan bulan', tempoh paling lama dalam sejarah moden.

"Beliau mentadbir negara dalam keadaan negara dan dunia berdepan suasana sukar melalui kepimpinan dan keupayaan eksekutifnya yang cemerlang," kata Kishida.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Julai 2022 @ 7:10 PM