ORANG ramai meletakkan jambangan di luar Dewan Nippon Budokan, Tokyo. FOTO Reuters
ORANG ramai meletakkan jambangan di luar Dewan Nippon Budokan, Tokyo. FOTO Reuters
AFP

Tokyo: Shinzo Abe memecahkan rekod sebagai perdana menteri Jepun yang paling lama berkhidmat di negara matahari terbit itu.

Sepanjang memegang jawatan itu, beliau memperjuangkan pembaharuan ekonomi yang bercita-cita tinggi dan menjalin hubungan diplomatik ketika mengelak skandal kronisme dan memerangi masalah kesihatan yang kronik.

Ketika mula-mula menjadi perdana menteri pada 2006, Abe berusia 52 tahun sekali gus menjadi orang termuda yang memegang jawatan itu pada era selepas perang.

Abe dilihat sebagai simbol perubahan dan belia serta membawa salasilah ahli politik generasi ketiga dari keluarga elit dan konservatif.

Penggal pertama Abe selama setahun dilihat bergelora, dilanda skandal dan perselisihan serta dihadkan dengan peletakan jawatan secara tiba-tiba kerana keadaan kesihatannya selepas didiagnosis penyakit usus, kolitis ulseratif.

Abe bertanding lagi sebelum dilantik menjadi Perdana Menteri semula pada 2012.

Pada ketika itu, keadaan Jepun masih belum pulih akibat tsunami yang berlaku pada 2011 dan bencana nuklear di Fukushima.

Namun, kemunculan Abe tepat pada masanya apabila menawarkan rancangan dalam memulihkan ekonomi Jepun berbanding kerajaan pembangkang yang dikecam kerana tidak cekap serta lambat bertindak.

Abe juga berusaha meningkatkan kadar kelahiran negara dengan menjadikan tempat kerja lebih mesra kepada ibu bapa terutama golongan ibu bekerja.

Di pentas antarabangsa, Abe berusaha keras memulihkan hubungan dengan Korea Utara, namun mencari peranan pendamai antara Amerika Syarikat dan Iran.

Walaupun terdapat sedikit kemajuan dengan pembaharuan, masalah struktur ekonomi yang lebih besar masih kekal dan Jepun terus berada dalam kemelesetan sebelum Covid-19 melanda pada tahun 2020.

Populariti Abe semakin merosot semasa wabak itu dengan tindak balasnya dikritik sebagai keliru dan perlahan, menyebabkan kedudukannya turun ke beberapa yang terendah dalam tempoh perkhidmatannya.

Abe sepatutnya kekal sehingga penghujung 2021, namun mengumumkan peletakan jawatan pada Ogos 2020 dengan keadaan penyakitnya kembali berulang sekali gus menamatkan penggal keduanya.

Walaupun selepas berundur, Abe kekal sebagai suara utama dalam politik walaupun dan ketika sedang aktif turun berkempen untuk Parti Liberal Demokratik yang memerintah, Abe dibunuh pada 8 Julai lalu.

Hari ini, acara pengebumian negara akan memberikan penghormatan terakhir kepada bekas pemimpin yang ditembak mati seorang lelaki bersenjata yang marah terhadap Gereja Penyatuan, sebuah kumpulan agama yang dia percayai Abe mempunyai kaitan.

Kira-kira 700 tetamu asing termasuk 50 bekas atau pemimpin semasa akan menghadiri pengebumian di Nippon Budokan, Tokyo.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 September 2022 @ 11:12 AM