UPACARA pengebumian negara bekas Perdana Menteri, Shinzo Abe. FOTO AFP
UPACARA pengebumian negara bekas Perdana Menteri, Shinzo Abe. FOTO AFP
Reuters

Tokyo: Upacara pengebumian negara bekas Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe diiringi dengan hamparan jambangan bunga, doa dan tabik hormat sebanyak 19 das tembakan sebagai simbolik Jepun memberikan penghormatan terakhir kepada pemimpin itu.

Untuk rekod, ini adalah pengebumian negara pertama untuk bekas perdana menteri dalam tempoh 55 tahun.

Upacara dimulakan kira-kira 2 petang dengan balu Abe, Akie, membawa masuk abu suaminya ke Dewan Nippon Budokan dengan diikuti dengan iringan muzik dari kumpulan tentera dan tabik hormat daripada Pengawal Kehormat.

Dewan berkenaan yang lebih dikenali sebagai tempat penganjuran konsert.

Kelihatan potret besar Abe yang dibalut dengan riben hitam digantung di atas 'tebing' dipenuhi bunga hijau, putih dan kuning.

Berhampiran dengannya kelihatan beberapa gambar digantung pada dinding menampilkan beliau bersama pemimpin G7, berpegangan tangan dengan kanak-kanak dan melawat kawasan bencana.

Ribuan orang dilaporkan hadir membanjiri tempat pengebumian itu sejak awal pagi tadi hingga menyebabkan penganjur perlu membuka dewan berkenaan setengah jam lebih awal daripada jadual asal.

Dalam beberapa jam sahaja, kira-kira 10,000 orang meletakkan bunga dan tunduk bertafakur di sebelah gambar Abe dengan lebih ramai lagi sedang menunggu giliran dalam barisan panjang.

Pembunuhan Abe ketika perhimpunan kempen pada 8 Julai lalu mencetuskan banyak pendedahan mengenai hubungan antara penggubal undang-undang dalam Parti Liberal Demokratik (LDP) yang pernah ditadbirnya dan Gereja Penyatuan yang mencetuskan tindak balas terhadap Perdana Menteri semasa, Fumio Kishida.

Kishida memohon maaf dan berikrar untuk memutuskan hubungan parti dengan gereja.

Namun, penentangan terhadap penghormatan Abe dengan upacara pengebumian negara, acara pertama seumpama itu sejak 1967, masih berterusan dengan nilai AS$11.5 juta (RM53 juta) yang perlu ditanggung kerajaan ketika ekonomi meleset yang merugikan rakyat biasa.

Perdana Menteri Jepun yang paling lama berkhidmat itu adalah seorang tokoh yang memecah belah dan dilanda skandal.

Di satu kawasan di pusat bandar Tokyo, penunjuk perasaan melambai tanda dan melaungkan "tiada pengebumian negara" dengan diiringi petikan gitar.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 September 2022 @ 3:37 PM