ANTARA kawasan yang terjejas akibat banjir di Balochistan. FOTO AFP
ANTARA kawasan yang terjejas akibat banjir di Balochistan. FOTO AFP
AFP

Sukkur: Hujan lebat melanda beberapa wilayah di Pakistan pada Jumaat memaksa kerajaan mengisytiharkan darurat bagi menangani banjir yang menjejaskan lebih empat juta penduduk.

Peralihan monsun yang penting untuk mengairi tanaman serta meningkatkan kuantiti air di tasik dan empangan di negara itu bertukar kepada gelombang kemusnahan.

Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan (NDMA) berkata, hujan monsun yang bermula sejak Jun lalu sudah mengorbankan lebih 900 penduduk setakat Jumaat, termasuk 34 daripadanya maut dalam tempoh 24 jam terakhir.

Pegawai berkata, banjir tahun ini setanding dengan kejadian pada 2010 lalu yang paling teruk pernah berlaku di negara itu apabila lebih 2,000 penduduk terbunuh dan hampir satu perlima daripada negara itu ditenggelami air.

"Saya tidak pernah melihat banjir besar sebegini dalam hidup saya," kata petani oktogenarian Rahim Bakhsh Brohi kepada AFP dekat Sukkur, di selatan wilayah Sindh.

Seperti beribu-ribu penduduk lain di luar bandar Pakistan, Brohi mendapatkan perlindungan di lebuh raya kerana jalan bertingkat antara tempat kering daripada takungan air yang tidak berkesudahan.

Agensi bencana berkata, lebih 4.2 juta penduduk terjejas akibat bencana itu dengan hampir 220,000 rumah musnah dan setengah juta lagi rosak teruk.

Kawasan tanaman seluas 809,371 hektar musnah di Sindh sahaja, kata agensi bencana wilayah itu.

"Tanaman kapas saya yang disemai di atas tanah seluas 50 ekar (20 hektar) semuanya sudah musnah," kata Nasrullah Mehar kepada AFP.

"Ia satu kerugian besar bagi saya... apa yang boleh saya lakukan?"

Menteri Perubahan Iklim Sherry Rehman, pada Rabu menyifatkan banjir melanda negara itu sebagai malapetaka dan beliau merayu bantuan antarabangsa.

Pakistan berada di tempat kelapan dalam Indeks Risiko Iklim Global dan dianggap paling terdedah kepada cuaca ekstrem disebabkan perubahan iklim, menurut Germanwatch.

Awal tahun ini, kebanyakan wilayah di negara itu dilanda kemarau dan gelombang panas, dengan suhu mencecah 51 darjah Celsius (124 Fahrenheit) di Jacobabad, wilayah Sindh.

Kini bergelut pula dengan masalah banjir yang mengakibatkan kemusnahan harta benda.

Di Sukkur, kira-kira 75 kilometer jauhnya, penduduk bergelut untuk melalui jalan berlumpur akibat banjir.

"Jika anda datang lebih awal airnya setinggi ini," kata pelajar berusia 24 tahun Aqeel Ahmed kepada AFP sambil mengangkat tangannya ke dada.

Perdana Menteri Shehbaz Sharif membatalkan lawatan yang dirancang ke Britain untuk menangani masalah banjir di negara itu dan sudah mengarahkan tentera melakukan operasi bantuan.

"Saya melihat dari udara dan kemusnahan yang tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata," katanya di TV kerajaan selepas melawat Sukkur.

"Pekan, kampung dan tanaman ditenggelami air. Saya tidak fikir tahap kemusnahan ini berlaku sebelum ini."

Kawasan yang paling teruk dilanda banjir adalah Balochistan dan Sindh, namun hampir semua wilayah Pakistan terjejas tahun ini.

Ibu kota wilayah Balochistan terputus hubungan dan perkhidmatan kereta api digantung selepas jambatan utama rosak akibat banjir kilat.

Kebanyakan rangkaian mudah alih dan perkhidmatan internet tidak berfungsi di wilayah itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Ogos 2022 @ 11:38 AM