Seorang lelaki mendayung sampan melintasi pasar yang ditenggelami air di kampung Bajara, di Sehwan, Pakistan. - FOTO Reuters
Seorang lelaki mendayung sampan melintasi pasar yang ditenggelami air di kampung Bajara, di Sehwan, Pakistan. - FOTO Reuters
Reuters

Sehwan, Pakistan: Sebahagian daripada Pakistan kelihatan "seperti laut", kata Perdana Menteri Shehbaz Sharif pada Rabu, selepas melawat beberapa kawasan yang dilanda banjir.

Satu pertiga daripada negara berkenaan dilitupi air dengan 18 lagi kematian dilaporkan menjadikan angka keseluruhan mencecah 1,343.

Sebanyak 33 juta daripada 220 juta penduduk terjejas dalam bencana yang dipercayai berpunca akibat perubahan iklim yang menyebabkan ratusan ribu kehilangan tempat tinggal dan kerugian sekurang-kurangnya AS$10 bilion.

"Anda tidak akan percaya skala kemusnahan di sana," kata Sharif kepada media selepas lawatan ke wilayah Sindh.

"Ia adalah air di mana-mana sejauh yang anda lihat. Ia seperti laut."

Kerajaan telah meningkatkan pemberian wang tunai untuk mangsa banjir kepada 70 bilion rupee Pakistan (AS$313.90 juta), akan membeli 200,000 khemah untuk menempatkan keluarga yang kehilangan tempat tinggal, katanya.

Air yang surut mengancam cabaran baharu dalam bentuk penyakit berjangkit bawaan air, kata Sharif.

"Kami memerlukan bertrilion rupee untuk menghadapi musibah ini."

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu telah meminta bantuan AS$160 juta untuk membantu mangsa banjir.

Ramai daripada mereka yang terjejas adalah dari Sindh, di mana tasik air tawar terbesar di Pakistan hampir mencecah tebingnya, menyebabkan 100,000 orang kehilangan tempat tinggal.

Pegawai bencana negara berkata lapan kanak-kanak adalah antara yang maut dalam tempoh 24 jam yang lalu.

Dengan lebih banyak hujan dijangka pada bulan akan datang, keadaan boleh menjadi lebih teruk, seorang pegawai tertinggi agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR) memberi amaran.

Namun, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata lebih daripada 6.4 juta orang memerlukan sokongan kemanusiaan di kawasan banjir.

Air yang melimpah menghanyutkan 1.6 juta rumah, 5,735 km rangkaian pengangkutan, 750,000 ekor ternakan, dan membanjiri lebih daripada dua juta ekar tanah ladang.

Pakistan telah menerima hampir 190 peratus lebih banyak hujan daripada purata 30 tahun pada bulan Julai dan Ogos, berjumlah 391 mm, dengan Sindh mendapat 466 peratus lebih banyak hujan daripada purata.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 September 2022 @ 5:19 PM