POLIS menyerahkan kembali wang kepada anak Rohit.
POLIS menyerahkan kembali wang kepada anak Rohit.
Agensi

New Delhi: Menyedihkan apabila seorang lelaki terpaksa mengorek duit syiling dalam tabung milik anaknya untuk membayar saman kerana melakukan kesalahan lalu lintas ketika memandu beca bermotor atau autorickshaw.

India Times melaporkan Rohit Khadse melakukannya kerana kesempitan wang dan perlu membayar saman bagi menuntut semula kenderaannya yang dirampas polis.

Rohit terdesak menuntut kenderaannya kerana hanya itu pengangkutan dimiliki untuk mencari rezeki.

Media tempatan melaporkan Rohit datang ke balai untuk membayar saman dengan membawa beg plastik duit syiling berjumlah 2,000 rupee (kira-kira RM114) namun ditolak kerana syiling itu terlalu banyak.

Khadse kemudian menghampiri Ajaykumar Malviya, seorang pegawai kanan polis di Bahagian Lalu Lintas Sitabuldi dengan linangan air mata dengan mengatakan dia bersedia membayar denda serta merayu kenderaannya dikembalikan.

Melihat beg plastik berisi duit syiling, Malviya memeriksa kesalahan dilakukan Rohit.

Selepas mengetahui mengenai masalah kewangan dihadapi Rohit, Malviya bukan hanya mengembalikan wang anak lelaki itu, tetapi membantu membayar saman lelaki berkenaan.

Kisah itu tular selepas dikongsikan di Facebook rasmi Polis Nagpur dan rata-rata netizen memuji keprihatinan pegawai polis berkenaan

Menerusi kenyataan akhbar Polis Nagpur, anggota polis trafik mendenda pemandu beca bermotor itu pada 8 Ogos kerana meletakkan kenderaannya di zon tanpa tempat letak kenderaan.

Oleh kerana lelaki itu mempunyai tunggakan saman, maka polis merampas kenderaannya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Ogos 2021 @ 7:03 AM