DUIT syiling yang dibawa Siswanto untuk membeli motosikal. FOTO Agensi
DUIT syiling yang dibawa Siswanto untuk membeli motosikal. FOTO Agensi
Agensi

Bandung: Di mana ada kemahuan di situ ada jalan. Itu yang berlaku kepada seorang pemuda yang membeli motosikal dengan menggunakan duit syiling yang dikumpul sejak sembilan tahun lalu.

Siswanto dari daerah Cianjur, Jawa Barat akhirnya berjaya membeli motosikal dengan harga 22.1 juta rupiah (kira-kira RM6,400), baru-baru ini.

Dia yang juga seorang anggota polis mengumpul wang syiling sejak 2013.

"Wang ini sebenarnya tidak hanya dikumpul untuk membeli motosikal saja, tetapi sebagai simpanan.

"Tapi apabila melihat model motosikal ini diperkenalkan, saya tertarik untuk membelinya," katanya seperti dilapor portal Kompas.

Katanya, duit syiling yang disimpan itu adalah lebihan daripada perbelanjaan hariannya dan disimpan di satu sudut khas di rumahnya.

Sebaik cukup jumlahnya, Siswanto akan mengumpul syiling itu di dalam bekas lain.

Untuk membeli motosikal itu, Siswanto membawa 22 bekas simpanan duit syiling dengan berat dianggarkan lebih 100 kilogram (kg).

Siswanto kemudian membawa semua bekas simpanan syiling itu ke sebuah kedai motosikal, sehingga mengejutkan pekerja kedai berkenaan.

Pengurus pengedar JG Motor, Cepi Hermawan berkata, ini kali pertama pelanggan membeli motosikal di kedainya menggunakan duit syiling.

Cepi berkata, itu bukan masalah dan pekerjanya tetap menerima cara pembayaran itu.

Pekerja juga diminta untuk membantu mengira semua duit syiling yang dibawa Siswanto.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 January 2022 @ 7:01 AM