FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Agensi

Kaherah: Malang nasib tiga individu di bandar selatan Aswan, Mesir apabila maut akibat disengat kala jengking yang memenuhi jalan dan rumah akibat dibawa ribut kencang.

BBC News melaporkan 450 individu lagi cedera akibat sengatan kala jengking, kata seorang pegawai kementerian kesihatan.

Hujan batu dan ribut petir di kawasan berhampiran Sungai Nil agak teruk pada Jumaat.

Ia menyebabkan kala jengking dihanyutkan ke jalanan oleh hujan lebat.

Susulan itu, pegawai kesihatan agensi berita Al-Ahram memaklumkan dos tambahan antivenom dibekalkan di pusat perubatan dekat kampung berhampiran pergunungan dan padang pasir.

Sementara itu, doktor tidak lagi dibenarkan memberi vaksin untuk merawat sengatan kala jengking, tambah pegawai itu.

Orang ramai digesa tinggal di rumah dan mengelakkan tempat yang mempunyai banyak pokok.

Mesir adalah habitat kepada kala jengking ekor gemuk iaitu antara spesies paling berbahaya di dunia.

Racun daripada ekornya boleh membunuh manusia dalam masa kurang daripada satu jam.

Gejala yang berkaitan dengan kesan racun itu adalah kesukaran bernafas, otot berkedut dan pergerakan kepala yang luar biasa.

Antivenom digunakan sebagai langkah pencegahan sebelum gejala timbul, tetapi hanya berfungsi apabila ia (gejala) mula bertambah buruk.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 November 2021 @ 6:40 AM