Fairul Asmaini Mohd Pilus

KEBIASAANNYA, selepas digigit haiwan berbisa seperti tarantula, ramai yang akan fobia dan trauma.

Namun, tidak bagi Arresh Norman Sidhu, 24, kerana dia mula tertarik untuk mengenali haiwan berbisa itu selepas digigit tarantula berwarna biru ketika bercuti bersama keluarganya di Sabah ketika berusia 11 tahun.

Sejak kejadian itu, dia mula mencari maklumat mengenai labah-labah dan dari situ minatnya kepada haiwan berbisa mula bercambah.

Anak jati Ipoh, Perak itu mula membela haiwan berbisa seperti tarantula dan kala jengking ketika berumur 12 tahun.

Kata Arresh, tujuan utamanya dia membela haiwan berbisa itu adalah kerana ingin berkongsi kepada keluarga dan rakan bahawa haiwan berkenaan sebenarnya lebih takutkan manusia.

"Ia hanya akan menggunakan bisanya jika diganggu atau berada dalam keadaan tertekan.

"Jadi, ada ketikanya saya turut membawa kala jengking dan tarantula yang jinak untuk membuat pertunjukkan mini dalam kawasan universiti bagi membantu rakan mengatasi fobia mereka," katanya.

ARRESH bersama haiwan berbisa kesayangannya, kala jengking Pandinus Imperator.
ARRESH bersama haiwan berbisa kesayangannya, kala jengking Pandinus Imperator.

INGIN berkongsi kepada keluarga dan rakan bahawa haiwan berbisa sebenarnya lebih takutkan manusia.
INGIN berkongsi kepada keluarga dan rakan bahawa haiwan berbisa sebenarnya lebih takutkan manusia.

Menurut Arresh, antara spesies sukar ditemui yang berada jagaannya adalah Lycosa sinensis (labah-labah Wolf ) dan Adroctonus carriscauda (spesies kala jengking).

Katanya, antara semua haiwan terbabit, kala jengking spesies Pandinus imperator (kala jengking maharaja) dan Eupalaestrus campustratus (tarantula Pink Zebra Beauty) adalah yang paling disayangi.

"Kebanyakan spesies kala jengking dan tarantula yang saya pelihara adalah jenis agresif.

"Namun, kala jengking maharaja dan tarantula Pink Zebra Beauty berbeza, ia adalah spesies yang lebih perlahan dan jinak.

"Kedua-dua haiwan itu sudah banyak membantu individu untuk menghadapi fobia serta ketakutan terhadap labah-labah dan kala jengking," katanya.

Pelajar Quest International University itu berkata, dalam seminggu, kala jengking, tarantula dan labah-labah dewasa akan diberi makan antara sekali hingga dua kali.

Manakala, haiwan yang lebih kecil antara dua hingga tiga kali seminggu.

KALA jengking unik daripada spesies Parabuthus raudus bicolour form.
KALA jengking unik daripada spesies Parabuthus raudus bicolour form.

Kata Arresh, bagi yang berminat untuk membela haiwan berkenaan, sebaiknya mereka perlu mendapatkan maklumat yang secukupnya terlebih dahulu sebelum membeli spesies berbisa itu.

Ini memandangkan, ada spesies yang hanya sesuai untuk persekitaran tertentu seperti cuaca tropika, padang pasir, berair dan sebagainya.

Katanya, dia memperuntukkan RM30 sebulan untuk kos penjagaan haiwan terbabit.

"Kebanyakan haiwan itu ditempatkan dalam bilik saya sendiri dan bagi spesies yang memerlukan persekitaran sejuk, ia diletakkan dalam bilik khas yang bersuhu rendah.

"Jika ada yang berminat, saya tidak keberatan untuk menjualnya asalkan mereka memiliki pengetahuan dan maklumat yang cukup untuk membelanya.

LABAH-labah spesies Lycosa sinensis.
LABAH-labah spesies Lycosa sinensis.

ANTARA spesies haiwan berbisa yang dibela Arresh.
ANTARA spesies haiwan berbisa yang dibela Arresh.

"Manakala spesies yang sangat berbisa pula tidak akan dijual kepada orang sebarangan kerana ia memerlukan pengalaman dan kemahiran untuk menjaganya," katanya.

Sementara itu, Arrresh berkata, mana-mana individu yang berminat untuk membela haiwan berbisa seperti itu perlu belajar memahami dan menghormati spesies berkenaan.

Selain itu, jangan sesekali mengubah jenis makanan haiwan terbabit kerana ia juga boleh memberi tekanan kepadanya.

"Lebih penting, jangan sesekali mengganggu, memberi tekanan atau cuba pegang secara langsung haiwan berbisa itu kerana ia boleh bertindak balas," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 September 2021 @ 7:00 AM