FU menyamar sebagai lelaki untuk memasuki program kumpulan muzik lelaki. FOTO Agensi
FU menyamar sebagai lelaki untuk memasuki program kumpulan muzik lelaki. FOTO Agensi
Agensi

Beijing: Sanggup menyamar menjadi lelaki semata-mata mahu menyertai kumpulan muzik dianggotai remaja lelaki.

Itu kesilapan dilakukan Fu Jiayuan, 13, yang terpaksa memohon maaf kepada peminatnya.

Dia mengakui status sebenar jantinanya selepas pengguna maya mendedahkan dia sebenarnya perempuan.

Fu berkata, dia menipu syarikat pengurusan kumpulan popular itu kerana dia masih mentah dan tidak berfikir panjang kesannya.

Katanya, dia akan meninggalkan dunia hiburan.

"Saya minta maaf kepada semua yang menaruh kepercayaan kepada saya.

"Saya janji tidak muncul lagi dalam industri hiburan atau mana-mana platform video pada masa depan," katanya seperti dilaporkan BBC News.

Walaupun dia hanya sebahagian daripada peserta Kelab Belia YGN dan bukan ahli rasmi kumpulan itu, peminat dapat menyaksikan kemunculannya menerusi video sepanjang sesi latihan.

Ramai peminat Kelab Belia YGN rasa terhibur dengan pengakuan berkenaan dan menganggap ia bukan masalah besar.

Ada peminat membelanya dengan menyamakan tindakan remaja itu sama dengan legenda pahlawan China, Mulan.

Sementara itu, syarikat berkenaan berkata, kesilapan itu berlaku kerana sesi uji bakat dilakukan secara dalam talian disebabkan kekangan pandemik Covid-19.

"Kakitangan kami cuai semasa mengendalikan uji bakat itu. Kami akan tegas mematuhi peraturan dan undang-undang syarikat pada masa depan," katanya dalam kenyataan.

Kelab Belia YGN hanya mengambil remaja lelaki menyertai mereka dengan kebanyakan daripada mereka berusia antara 11 hingga 13 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Oktober 2021 @ 7:02 AM