Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: Kumpulan remaja yang memanjat arca gergasi perkataan `IPOH' mengakui kesilapan dan memohon maaf dengan perbuatan mereka, hari ini.

Jurucakap kumpulan itu, Norfarihan Baharudin, 24, berkata, dia bersama rakan-rakan lain memang berhasrat memohon maaf lebih awal sebaik mengetahui gambar dan video mereka menjadi viral namun tidak berpeluang berbuat demikian selepas dikecam hebat oleh netizen.

"Harap semua faham, apabila dikecam masyarakat, saya tidak berpeluang memberi penjelasan. Kami memohon maaf dan setiap percakapan yang mahu diperkatakan juga takut untuk diberitahu.

"Kami mahu meminta maaf kepada masyarakat dan tahu perbuatan ini salah," katanya selepas pertemuan dengan Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia dan Sukan negeri, Datuk Shahrul Zaman Yahya di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, hari ini.

Norfarihan ditemani empat rakannya, Azlina Azmin, 21, Nor Farina Baharudin, 22, serta Muhammad Zaki Nasarruddin dan Muhammad Faiz Roslee, yang masing-masing berusia 23 tahun.

Katanya, dia dan rakan-rakan berpengalaman melakukan aktiviti lasak, termasuk lagak ngeri secara sambilan bagi penggambaran filem malah sering mendaki bukit dan gunung, termasuk di Thailand dan Vietnam.

"Kami ada latar belakang masing-masing, jadi ketika naik kami sebenarnya sudah memikirkan isu keselamatan cuma tidak menyangka perkara ini menjadi viral dan dikecam.

“Kami memilih mercu tanda IPOH kerana keunikannya," katanya.

Bagaimanapun menurutnya, gambar dan video itu bukan disebarkan mereka sebaliknya dilakukan pihak yang menemubual dia yang kemudian dimuat naik ke media sosial sebelum menjadi viral.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 January 2017 @ 7:11 PM
‘Geng berani mati’ yang memanjat arca IPOH, Norfarihan Baharudin 24, (tengah) bersama Muhammad Zaki Nasaruddin 23, (kiri), Muhammad Faiz Roslee 23, Nor Farina Baharudin dan Azlina Azmi. - Foto ABDULLAH YUSOF
‘Geng berani mati’ yang memanjat arca IPOH, Norfarihan Baharudin 24, (tengah) bersama Muhammad Zaki Nasaruddin 23, (kiri), Muhammad Faiz Roslee 23, Nor Farina Baharudin dan Azlina Azmi. - Foto ABDULLAH YUSOF
Norfarihan Baharudin (tengah) bersama Nor Farina Baharudin (kiri) dan Azlina Azmi memohon maaf dengan perbuatan mereka. - Foto ABDULLAH YUSOF
Norfarihan Baharudin (tengah) bersama Nor Farina Baharudin (kiri) dan Azlina Azmi memohon maaf dengan perbuatan mereka. - Foto ABDULLAH YUSOF