Iman Troye
Iman Troye
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: Penyanyi, Iman Troye memohon maaf kepada peminat kumpulan dari Korea Selatan, NCT selepas timbul salah faham apabila dia menulis komen mengenai jerawat anggota kumpulan itu, Jaehyun.

Menerusi Twitter dan Instagram Story, Iman menjelaskan bahawa dia sebenarnya membela anggota kumpulan itu dan bukan merendah-rendahkan seperti yang dianggap oleh peminat yang menggelar diri mereka sebagai NCTzens itu.

"Saya mohon maaf sekali lagi kepada semua NCTzens dan anggota NCT. Salah Iman, sebab tak jelaskan betul-betul semasa menulis komen," tulisnya.

Di Twitter, penyanyi lagu Teman itu menjelaskan maksud sebenar dia menulis komen sebegitu di Instagram satu portal hiburan adalah untuk membela Jaehyun.

"Orang yang komen di situ kata, semua artis K-pop ini melakukan pembedahan plastik dan sebab itulah mereka tak tumbuh jerawat. Saya cuba membela sebab saya sendiri minat K-pop. Saya tak cakap pun mereka buat pembedahan plastik.

"Sumpah, saya minta maaf kalau terasa atau apa. Memang tak ada niat dan tak terdetik pun nak buat kamu semua kecil hati. Saya tahu saya tak cantik, suara tak seperti yang kamu mahukan, menjengkelkan dan banyak lagi. Tapi, sumpah, demi Allah saya nak bela mereka," tulisnya.

Iman juga membalas komen beberapa individu yang menganggap kelahiran dan kewujudannya di dunia adalah suatu kesilapan.

"Saya tak jadi kebudak-budakan tapi ada antara mereka yang cakap, 'Kenapalah lahir di bumi ini?', 'harap kau mati', 'harap sangat kau muntah darah ada paku'. Saya mohon maaf sekali lagi.

"Kamu semua salah faham. Saya minta maaf sebab lahir di dunia ini. Saya minta maaf sebab wujud. Saya minta maaf sangat-sangat," tulisnya.

Dalam ciapannya juga, Iman meminta supaya isu kesihatan mental seharusnya dipandang serius sekali gus membalas komen NCTzens yang mempersenda mengenai perkara itu.

"Kesihatan mental sangat penting. Tolong jangan buat main. Jangan sampai kena di batang hidung sendiri, baru nak ambil serius mengenai kesihatan mental," tulisnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 April 2021 @ 4:03 PM