Foto hiasan
Foto hiasan
Agensi

Singapura: Lebih banyak kes Covid-19 dikaitkan dengan kluster pusat hiburan dijangka muncul dalam beberapa hari mendatang, kata Menteri Kesihatan Ong Ye Kung dengan kluster itu kini antara yang terbesar di Singapura.

Namun, Ong yang menyifatkan keadaan itu sebagai merisaukan dan mengecewakan berkata, kelonggaran langkah diperketat sejak Isnin lalu antara lain membolehkan sehingga lima orang duduk makan semeja di tempat makan, tidak akan ditarik balik.

Ini kerana Singapura kini dalam kedudukan lebih berdaya tahan disebabkan kadar vaksinasi yang tinggi, dengan lebih 70 peratus penduduk sudah menerima suntikan dos pertama vaksin Covid-19, manakala lebih 40 peratus pula selesai mendapatkan dos kedua mereka.

"Kami berfikir panjang, dan oleh sebab kita baru saja memulakannya pada Isnin, dan kita kini mempunyai kadar vaksinasi lebih tinggi…tidak akan ada sebarang penarikan balik," kata beliau kepada wartawan menerusi Zoom semalam.

Beliau berkata, tidak begitu terkejut dengan lonjakan kes itu kerana varian Delta memang lebih mudah berjangkit.

Ong menambah, keutamaan Kementerian Kesihatan (MOH) kini adalah mengenal pasti mereka yang dijangkiti dan mengasingkan individu tersebut dengan pantas untuk melindungi masyarakat.

Semalam, 41 daripada 56 kes dalam masyarakat yang dilaporkan dikait dengan kluster pusat hiburan itu.

Ia termasuk seorang penumpang berusia 40 tahun di atas kapal persiaran Dream Cruises, yang dikenal pasti sebagai kenalan rapat kepada kes positif.

Ini menjadikan kluster itu sebanyak 53 kes, antara terbesar yang masih aktif di sini.

Ong menggesa mereka yang mengunjungi pusat hiburan dan berinteraksi dengan pelayan sejak 29 Jun lalu agar menjalani ujian saringan yang disediakan percuma, sambil berkata proses ujian itu adalah rahsia dan privasi mereka dilindungi.

"Saya tahu ada segelintir yang terfikir jika mereka diuji positif, adakah tindakan penguatkuasaan akan diambil terhadap mereka.

"Saya akan katakan, polis akan ambil tindakan terhadap pusat hiburan dan pelayan. Bagi pelanggaran langkah jarak selamat, penguatkuasaan berada di bawah MOH.

"Keutamaan MOH kini ialah untuk mencari siapakah yang dijangkiti dan jika anda positif, dengan cepat mengasingkan anda dan cepat mengambil tindakan untuk melindungi keluarga anda dan masyarakat.

"Itu keutamaan kami sekarang. Oleh itu, sila tolong tampil untuk menguji diri anda," kata beliau.

Jika individu tidak selesa menjalani ujian di pusat pemeriksaan, Ong menggesa mereka agar mengasingkan diri dan mendapatkan ahli keluarga mereka membelikan kit ujian pantas antigen (RTK-Ag) atau boleh memantau kesihatan bagi 14 hari dan tidak berinteraksi dengan sesiapa.

Kes pertama dalam kluster itu merupakan seorang wanita warga Vietnam yang berada di sini dengan pas lawatan jangka pendek.

Wanita itu berjumpa doktor pada Ahad lalu dengan gejala jangkitan pernafasan teruk, kata Pengarah Khidmat Perubatan MOH Prof Madya Kenneth Mak.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Julai 2021 @ 12:03 PM