PENGUNJUNG melihat menu di luar restoran di Arab Street, Singapura. FOTO AFP
PENGUNJUNG melihat menu di luar restoran di Arab Street, Singapura. FOTO AFP
Agensi

Singapura: Singapura akan kembali kepada Fasa Dua (Kewaspadaan Dipertingkat) mulai esok bagi mengekang jumlah penularan Covid-19 dalam kalangan masyarakat.

Bermula 22 Julai hingga 18 Ogos, antara lain, jumlah individu yang dibenarkan dalam perhimpunan sosial akan dikurangkan kepada dua orang, berbanding lima orang ketika ini.

Jumlah tetamu ke setiap rumah juga akan dikurangkan semula kepada dua orang sehari.

Dalam pada itu, menurut Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Gan Kim Yong, yang juga pengerusi bersama Pasukan Bertindak Berbilang Kementerian (MTF) bagi Covid-19, menjamu selera di premis makanan dan minuman (F&B) termasuk pusat penjaja dan pusat makanan juga dilarang.

Ini bermakna perniagaan F&B hanya boleh menawarkan khidmat penghantaran dan bawa pulang.

Langkah ini akan menggantikan langkah-langkah yang telah dikuatkuasakan kelmarin, kata Kementerian Kesihatan (MOH) dalam satu kenyataan.

Langkah keselamatan Covid-19 yang diperketatkan ini diambil selepas muncul kluster Covid-19 di pusat hiburan KTV dan Pelabuhan Perikanan Jurong (JFP).

Kluster JFP terutamanya menjadi keprihatinan selepas mula merebak ke beberapa pasar dan pusat penjaja makanan setempat.

Semalam, Singapura mengesahkan 182 kes dalam masyarakat, termasuk 135 kes yang dikaitkan dengan kluster JFP dan 12 kes lagi pula berkait kluster KTV.

Ini adalah kes jangkitan dalam masyarakat tertinggi buat tiga hari berturut-turut sejak pandemik ini bermula.

Gan berkata, dengan kadar peningkatan kluster baru, langkah-langkah lebih ketat diperlukan bagi membendung penularan virus itu.

"Saya tahu pengumuman ini terasa seperti hambatan besar bagi ramai orang yang telah mematuhi peraturan, dan melakukan apa sahaja untuk menjaga keselamatan diri dan penduduk secara amnya.

"Kami sangat menghargai usaha anda. Selepas kita membendung kelompok baru dan mencapai kadar vaksinasi yang lebih tinggi, kita akan dapat meneruskan usaha pembukaan semula," katanya.

Menteri Kesihatan, Ong Ye Kung, pula menerangkan tiga faktor telah mendorong keputusan kembali ke Fasa Dua (Kewaspadaan Dipertingkat) iaitu memastikan kapasiti hospital dipelihara, jumlah warga emas yang telah divaksinasi serta sejauh mana pendedahan masyarakat kepada virus itu.

Menurutnya, jumlah warga emas yang dijangkiti juga sesuatu yang membimbangkan, dengan 81 warga berusia 60 tahun ke atas telah dijangkiti sepanjang minggu, termasuk 12 yang belum divaksinasi.

"Ini adalah keprihatinan utama kami kerana hampir 30 peratus penduduk warga emas berusia 70 tahun ke atas masih belum divaksinasi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Julai 2021 @ 2:56 PM