GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
BERNAMA

Kuala Lumpur: Seorang wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan memperdayakan seorang ahli perniagaan untuk menyerahkan wang tunai berjumlah RM94,850 berhubung tawaran gelaran 'Datuk Seri'.

Ong Li Shi, 39, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Wong Chai Sia.

Ong didakwa memperdayakan Ding Fan Wooi, 33, untuk menyerahkan wang itu secara berperingkat ke dalam akaun bank milik tertuduh iaitu mangsa tidak akan menyerahkan wang tersebut sekiranya tidak diperdayakan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah restoran di Jalan Bukit Bintang di sini pada 9 Dis 2021, mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang daripada satu tahun dan tidak lebih 10 tahun dan sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, di hadapan Majistret Atiqah Mohamed @ Mohamad Saim, rakan Ong, Chin Kah Fook, 33, mengaku tidak bersalah atas tuduhan menolong menyembunyikan wang berjumlah RM75,150 kepunyaan mangsa sama (Ding) dan tertuduh mengetahui wang tersebut bukan miliknya.

Chin, yang merupakan jurulatih seni mempertahankan diri, dituduh melakukan perbuatan tersebut di tempat sama pada 14 Jan lepas mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Amalina Johar dan Nadia Eleena Jamaluddin Akbal manakala peguam Muhammad Syafiq Salleh mewakili Ong.

Mahkamah kemudian membenarkan Ong dan Chin masing-masing diikat jamin RM6,000 dan RM1,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 26 April dan 1 Jun ini untuk sebutan semula kes.

Sebelum ini, media melaporkan seorang lelaki mengalami kerugian dianggarkan bernilai RM294,850 selepas ditipu sindiket tawaran Darjah Kebesaran yang membawa gelaran 'Datuk Seri'.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Mac 2022 @ 5:50 PM