MARINA Bay, Singapura. FOTO AFP
MARINA Bay, Singapura. FOTO AFP
Agensi

Singapura: Singapura mengalami gelombang baharu Covid-19, dengan peningkatan kes jangkitan dalam dua minggu lepas, lapor The Straits Times.

Menteri Kesihatan, Ong Ye Kung berkata, gelombang itu akan meningkat dalam dua hingga empat minggu akan datang.

"Kami berada di bahagian permulaan gelombang yang mana ia semakin meningkat.

"Jadi saya akan katakan gelombang itu akan memuncak dalam dua hingga empat minggu akan datang, yang bermaksud antara pertengahan dan akhir bulan Jun," katanya.

Kementerian Kesihatan berkata, bagi melindungi kapasiti katil hospital dan sebagai langkah berjaga-jaga, hospital awam diminta mengurangkan kes pembedahan elektif tidak mendesak, dan memindahkan pesakit yang sesuai ke kemudahan seperti kemudahan penjagaan peralihan atau pulang ke rumah melalui Penjagaan Pesakit Dalam Bergerak.

Ong juga menggesa mereka yang paling berisiko menghidap penyakit teruk termasuk individu berumur 60 tahun ke atas, individu yang lemah dari segi perubatan dan penduduk kemudahan penjagaan warga emas, untuk menerima dos tambahan vaksin Covid-19, jika belum menerimanya dalam 12 bulan lepas.

MOH berkata, anggaran jumlah kes Covid-19 pada minggu 5 hingga 11 Mei meningkat kepada 25,900 kes, berbanding 13,700 kes pada minggu sebelumnya.

Purata kemasukan harian Covid-19 di hospital meningkat kepada kira-kira 250 daripada 181 minggu sebelumnya. Purata kes Covid-19 di unit rawatan rapi harian (ICU) kekal rendah iaitu tiga kes, berbanding dua kes pada minggu sebelumnya.

Ong berkata lagi, jika jumlah kes Covid-19 meningkat sekali ganda, Singapura akan mempunyai 500 pesakit dalam sistem penjagaan kesihatannya, yang mana Singapura boleh kendalikan.

"Bagaimanapun, jika bilangan kes meningkat dua kali ganda untuk kali kedua, akan ada 1,000 pesakit, dan itu akan menjadi beban yang besar kepada sistem hospital.

"Jadi saya fikir sistem penjagaan kesihatan perlu mempersiapkan diri untuk apa yang akan datang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Mei 2024 @ 2:53 PM