TENTERA Israel menyuraikan penunjuk perasaan warga Palestin.
TENTERA Israel menyuraikan penunjuk perasaan warga Palestin.
Agensi

Baitulmaqdis: Sekurang-kurangnya 33 penduduk Palestin cedera ketika membantah tindakan rejim Zionis Israel meneruskan perarakan March of the Flags di Kota Lama Baitulmaqdis.

AFP melaporkan pasukan keselamatan Israel turut menahan 17 orang.

Selain itu, dua anggota polis Israel turut cedera.

Dalam pada itu, Middle East Eye (MEE) melaporkan polis Israel memukul dan menahan penduduk Palestin pada Selasa selepas menutup Gerbang Damsyik di sini.

Tindakan itu bertujuan memberi laluan kepada kepada penduduk Israel berkumpul dan memulakan perarakan nasionalis yang provokatif melalui Kota Lama Baitulmaqdis.

Perarakan digelar March of the Flags itu diadakan selepas ia dibatalkan sebelum ini kerana serangan Israel di Masjid Al-Aqsa dan ancaman pengusiran keluarga Palestin yang menyebabkan huru-hara di Baitulmaqdis.

Ia kemudian disusuli serangan udara rejim Zionis selama 11 hari di Semenanjung Gaza.

MEE melaporkan selepas menutup jalan tertentu dan Gerbang Damsyik, polis Israel dikatakan menahan rakyat Palestin di Baitulmaqdis, menjelang perarakan itu.

Video dimuat naik di Twitter menunjukkan pegawai Israel memukul seorang Palestin di tangga dekat Gerbang Damsyik.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Jun 2021 @ 6:00 AM