PENDUDUK Palestin menyertai tunjuk perasaan dekat kejiranan Yahudi di Beit El dekat Ramallah. FOTO AFP
PENDUDUK Palestin menyertai tunjuk perasaan dekat kejiranan Yahudi di Beit El dekat Ramallah. FOTO AFP
AFP

Baitulmaqdis: Mahkamah menangguhkan keputusan kes membabitkan pertikaian tanah membabitkan individu Israel dan penduduk Palestin bagi mengelakkan keadaan jadi bertambah tegang.

Mengikut jadual, prosiding kes itu sepatutnya diadakan pada hari ini, tetapi sudah ditangguhkan.

Ia susulan pertempuran antara penduduk Palestin dan pasukan keselamatan Israel di sini, pada malam Jumaat dan Sabtu.

Dua pertempuran pertama pada malam Jumaat, seramai 178 orang cedera dalam serangan Israel di Masjid Al-Aqsa dan daerah Sheikh Jarrah di Baitulmaqdis Timur.

Daripada jumlah itu, 88 dibawa ke hospital di Baitulmaqdis, manakala yang lain dirawat sebagai pesakit luar

Dianggarkan seramai 80 penduduk Palestin cedera dalam pertempuran malam kedua dengan polis Israel di Masjid Al-Aqsa di sini.

Pasukan keselamatan Israel melepaskan bom asap dan meriam air ke arah penduduk Palestin di luar Pintu Gerbang Damsyik, salah satu pintu masuk ke kota lama Baitulmaqdis.

Tunjuk perasaan pada malam kedua itu didorong cubaan individu Yahudi untuk mengambil alih rumah Palestin yang berdekatan di Baitulmaqdis Timur.

Ia adalah insiden terburuk di Masjid Al-Aqsa sejak 2017.

Dalam pada itu, enam negara Arab yang menjalin semula hubungan dengan Israel iaitu Mesir, Jordan, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Bahrain, Maghribi dan Sudan mengutuk rejim itu atas pencerobohan hujung minggu di Al-Aqsa.

Di Jordan, Raja Abdullah II mengeluarkan pernyataan yang mengecam pencerobohan Israel di Masjid Al-Aqsa.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Mei 2021 @ 11:19 AM