FOTO pada 30 Januari menunjukkan Korea Utara melancarkan peluru berpandu Hwasal-2. FOTO KCNA/ KNS / AFP
FOTO pada 30 Januari menunjukkan Korea Utara melancarkan peluru berpandu Hwasal-2. FOTO KCNA/ KNS / AFP
AFP

Pyongyang: Korea Utara mengumumkan kejayaan menguji peluru berpandu jelajah strategik.

Agensi berita kerajaan, KCNA melaporkan, peluru berpandu itu Hwasal-2, ditembak ke Laut Barat, semalam.

"Ujian itu bertujuan memeriksa postur serangan balas pantas tentera serta meningkatkan keupayaan serangan strategik.

"Pelancaran itu tiada kesan buruk terhadap keselamatan negara jiran," kata laporan itu.

Pelancaran itu pertama kali diperhatikan tentera Seoul, yang mengatakan pihaknya mengesan beberapa peluru berpandu jelajah.

Seorang penyelidik yang mengendalikan Institut Kajian Dunia untuk Korea Utara, Ahn Chan-il mendedahkan kepada AFP, kemungkinan Korea Utara memulakan pengeluaran besar-besaran peluru berpandu jelajah yang ditempah Rusia.

Bulan ini, Pyongyang menjalankan ujian sistem senjata nuklear bawah air, peluru berpandu balistik hipersonik bahan api pepejal dan peluru berpandu jelajah strategik generasi baharu .

Korea Utara sebelum ini menguji peluru berpandu persiaran strategik Hwasal-2.

Tidak seperti senjata balistik lain, ujian peluru berpandu jelajah tidak diharamkan di bawah sekatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke atas Pyongyang.

Peluru berpandu jelajah terbang pada ketinggian lebih rendah berbanding peluru berpandu balistik yang lebih canggih, menjadikannya lebih sukar untuk dikesan dan dipintas.

Ahad lalu, Korea Utara melancarkan dua Pulhwasal-3-31, sejenis peluru berpandu jelajah strategik baharu dari kapal selam, dalam ujian yang dihadiri pemimpin Kim Jong Un.

Walaupun tertakluk kepada sekatan PBB, Seoul dan Washington berkata, Kim menghantar senjata ke Rusia, mungkin sebagai pertukaran untuk bantuan teknikal Moscow dalam program satelit pengintip Pyongyang.

Kim membuat lawatan luar negara yang jarang berlaku ke Rusia pada September lalu untuk bertemu Presiden Vladimir Putin.

Putin kini dilaporkan bersedia melawat Pyongyang sebagai balasan.

Pada November lalu, Korea Utara berjaya meletakkan satelit pengintip pertamanya ke orbit.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 January 2024 @ 11:15 AM