ORANG ramai duduk berhampiran skrin yang menunjukkan siaran berita dengan rakaman fail ujian peluru berpandu Korea Utara. FOTO AFP.
ORANG ramai duduk berhampiran skrin yang menunjukkan siaran berita dengan rakaman fail ujian peluru berpandu Korea Utara. FOTO AFP.
BERNAMA

Seoul: Korea Utara melancarkan lapan peluru berpandu balistik jarak dekat (SRBM) ke arah Laut Timur pada Ahad, sehari selepas Seoul dan Washington menamatkan latihan bersama berhampiran semenanjung yang membabitkan kapal pengangkut pesawat AS, menurut tentera Selatan.

Ketua Staf Bersama (JCS) berkata, pelancaran itu dikesan dari 9.08 hingga 9.43 pagi dari kawasan sekitar Sunan di Pyongyang, lapor agensi berita Yonhap.

Setakat ini, maklumat lanjut belum dapat diperoleh.

Sumber yang dimaklumkan sebelum ini berkata, peluru berpandu itu dilancarkan dari sekurang-kurangnya dua lokasi.

"Sambil memperkukuh aktiviti pemantauan dan kewaspadaan, tentera kita, dengan kerjasama erat Amerika Syarikat, mengekalkan kedudukan kita," kata JCS dalam mesej itu.

Utara melakukan ujian tembakan dipercayai ICBM jenis baharu dan dua peluru berpandu balistik jarak dekat ke Laut Timur pada 25 Mei sejurus selepas lawatan Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden ke Seoul dan Tokyo.

Sehari sebelumnya, Korea Selatan dan AS menamatkan latihan gabungan tiga hari di perairan antarabangsa Okinawa dengan menggerakkan USS Ronald Reagan, kapal pengangkut pesawat berkuasa nuklear, bertujuan menghantar mesej tegas terhadap provokasi peluru berpandu Korea Utara yang berterusan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Jun 2022 @ 1:55 PM