WANITA melihat liputan berita mengenai pelancaran peluru berpandu oleh Korea Utara. FOTO Reuters
WANITA melihat liputan berita mengenai pelancaran peluru berpandu oleh Korea Utara. FOTO Reuters
Reuters

Pyongyang: Korea Utara melepaskan tiga peluru berpandu, termasuk satu yang dianggap peluru berpandu balistik antara benua (ICBM), pada Rabu.

Ia selepas Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden meninggalkan rantau Asia dan bersetuju dengan langkah baharu untuk menghalang negara bersenjata nuklear itu.

Ketua Turus Bersama Korea Selatan berkata, ketiga-tiga peluru berpandu itu ditembak dalam masa kurang sejam dari kawasan Sunan di ibu negara Utara, Pyongyang, di mana lapangan terbang antarabangsanya sudah menjadi hab ujian peluru berpandu.

Peluru berpandu pertama yang dilancarkan pada Rabu kelihatan seperti ICBM, manakala yang kedua tidak dikenali nampaknya gagal pada pertengahan penerbangan

"Peluru berpandu ketiga adalah peluru berpandu balistik jarak dekat (SRBM)," katanya.

Sebagai tindak balas, AS dan Korea Selatan mengadakan latihan ketenteraan gabungan, termasuk ujian peluru berpandu permukaan ke permukaan, kata tentera Korea Selatan.

Korea Utara melakukan pelbagai pelancaran peluru berpandu tahun ini, daripada senjata hipersonik hingga ujian menembak ICBM terbesarnya buat kali pertama dalam hampir lima tahun.

Ia juga nampaknya sedang bersiap untuk ujian nuklear pertamanya sejak 2017.

Pegawai AS dan Korea Selatan, baru-baru ini, memberi amaran bahawa Korea Utara kelihatan bersedia untuk ujian senjata lain, mungkin ketika lawatan Biden, yang menjadi kunjungan pertamanya ke Asia sebagai Presiden dan termasuk sidang kemuncak dengan Presiden Korea Selatan Yoon Suk-yeol di Seoul.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Mei 2022 @ 10:37 AM