KIM Jong Un. FOTO KCNA via KNS/ AFP
KIM Jong Un. FOTO KCNA via KNS/ AFP
AFP

Washington: Korea Utara mungkin meneruskan ujian nuklearnya tahun ini sebagai usaha mendesak pentadbiran Presiden Joe Biden untuk meneruskan rundingan, kata pakar perisikan Amerika Syarikat (AS) dalam laporan diterbitkan pada Selasa.

"Pemimpin Korea Utara Kim Jong Un mungkin mengambil tindakan agresif dan yang boleh menyebabkan ketidakstabilan yang boleh memberi kesan kepada keselamatan wilayah dan menimbulkan kemarahan AS dan sekutunya - termasuk meneruskan senjata nuklear dan ujian peluru berpandu balistik antara benua," kata Pejabat Pengarah Perisikan Kebangsaan dalam laporan mengenai ancaman terhadap AS di seluruh dunia.

"Kami menilai bahawa Kim berpendapat bahawa senjata nuklear adalah langkah paling utama untuk mengatasi campur tangan asing dan percaya pada satu ketika beliau akan diterima pada peringkat antarabangsa dan dihormati sebagai kuasa nuklear," menurut laporan itu.

Korea Utara sudah tidak menguji peluru berpandu jarak jauh lebih daripada tiga tahun, dan membuka pintu rundingan dengan AS mengenai program nuklearnya.

Tetapi laporan itu berkata; " Kim mungkin akan mempertimbang untuk meneruskan peluru berpandu jarak jauh atau ujian nuklear pada tahun ini untuk mendesak AS untuk meneruskan rundingan berdasarkan syarat ditetapkan Pyongyang".

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 April 2021 @ 11:46 AM