POLIS menanhan penunjuk perasaan di Yangon. FOTO AFP
POLIS menanhan penunjuk perasaan di Yangon. FOTO AFP
AFP

Yangon: Polis Myanmar melepaskan peluru getah untuk membubarkan penunjuk perasaan di Yangon hari ini, menurut wartawan AFP, selepas duta besar negara itu di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) menggesa tindakan menentang junta tentera.

Negara itu kini digemparkan dengan protes prodemokrasi sejak rampasan kuasa tentera menggulingkan pemimpin, Aung San Suu Kyi pada 1 Februari lalu.

Protes selama berjam-jam bermula sejak semalam di persimpangan Myaynigone di bandar ini.

Hari ini, ratusan penunjuk perasaan etnik Mon berkumpul di sana bagi memperingati Hari Kebangsaan Mon, disertai kumpulan etnik minoriti lain untuk memprotes rampasan kuasa.

Polis tiba untuk menyuraikan perkumpulan itu, mengejar penunjuk perasaan dan wartawan yang berlari untuk bersembunyi di bangunan berhampiran.

Tiga wartawan antara yang ditahan ditahan polis hari ini.

"Apa yang polis lakukan? Mereka melindungi diktator gila," teriak penunjuk perasaan.

Penunjuk perasaan kini berselindung di jalan berdekatan kediaman yang lebih kecil dan mula membina sekatan sementara menggunakan kawat berduri dan meja untuk menghalang polis.

Wartawan tempatan menyiarkan insiden itu secara langsung di Facebook, termasuk ketika ketika tembakan terdengar dilepaskan kepada penunjuk perasaan.

"Kami akan berusaha mencari cara lain untuk melakukan tunjuk perasaan - tentu saja, kami takut dengan tindakan keras mereka," kata penunjuk perasaan Moe Moe, 23, yang menggunakan nama samaran.

"Kami mahu berjuang sehingga kami menang."

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Februari 2021 @ 3:18 PM