Tindakan agresif penunjuk perasaan di jalan selepas rampasan kuasa berlaku. FOTO AFP
Tindakan agresif penunjuk perasaan di jalan selepas rampasan kuasa berlaku. FOTO AFP
AFP

Yangon: Ibu pejabat parti Liga Nasional untuk Demokrasi (NLD) pimpinan Aung San Suu Kyi, di sini, diserbu Tentera Myanmar malam tadi ditengah ketegangan berikutan peningkatan penentangan terhadap rampasan kuasa.

Ratusan ribu penunjuk perasaan membanjiri jalanan di Myanmar dan melaungkan bantahan walaupun dilarang pihak junta selepas penggulingan serta penahanan Suu Kyi oleh tentera minggu lalu.

"Diktator tentera menyerbu dan 'memusnahkan' ibu pejabat NLD kira-kira jam 9.30 malam," umum NLD dalam kenyataan ringkas menerusi laman sosial Facebook parti itu tanpa memberikan butiran lanjut.

Serbuan dilaporkan berlaku selepas demonstrasi memasuki hari keempat berturut-turut, semalam, yang menyaksikan pihak berkuasa menggunakan meriam air di beberapa bandar, selain melepaskan peluru getah terhadap penunjuk perasaan di Naypyidaw dan gas pemedih mata di Mandalay.

Dalam perkembangan sama, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menegaskan bahawa pihaknya 'amat bimbang' terhadap keganasan yang berlaku di Myanmar.

"Penggunaan kekerasan tidak wajar terhadap penunjuk perasaan adalah tidak boleh diterima," kata penyelaras kemanusiaan dan residen PBB di Myanmar, Ola Almgren.

Di Naypyidaw, sejumlah saksi mendakwa polis melepaskan tembakan daripada projektil selepas menggunakan meriam air terhadap penunjuk perasaan.

"Mereka melepaskan tembakan amaran ke udara sebanyak dua kali, kemudian menembak (penunjuk perasaan) dengan peluru getah," kata seorang residen kepada AFP.

Seorang doktor pula memaklumkan, dua individu berumur 23 dan 19 tahun berada dalam keadaan kritikal di hospital susulan tindakan pihak berkuasa.

"Kami percaya bahawa ia adalah peluru sebenar berdasarkan keadaan luka dan kecederaan mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Februari 2021 @ 10:58 AM