AUNG San Suu Kyi. FOTO fail EPA
AUNG San Suu Kyi. FOTO fail EPA
AFP

Yangon: Peserta demonstrasi antikudeta menyelitkan bunga pada rambut mereka sempena meraikan ulang tahun kelahiran pemimpin Myanmar yang digulingkan, Aung San Suu Kyi.

Kerajaan pimpinan Suu Kyi digulingkan pada rampasan kuasa 1 Februari lalu yang menyebabkan hura-hara dan protes di seluruh negara.

Menyelit bunga pada sanggul rambut sudah menjadi identiti Suu Kyi yang memasuki usia 76 tahun pada Sabtu.

Antara yang turut serta dalam demonstrasi itu adalah Miss Universe Myanmar Thuzar Wint Lwin, yang menyelit bunga merah di rambutnya dan tertulis: "Semoga pemimpin kita sihat'.

Di utara Yangon, peserta penunjuk perasaan menaikkan poster ucapan ulang tahun kelahiran kepada Suu Kyi.

"Selamat hari jadi Ibu Suu. Kami berada di belakang kamu," menurut poster berkenaan.

Selain itu, ramai antara penunjuk perasaan berarak dengan payung berwarna hitam dan sepanduk tertulis 'bebas daripada ketakutan' dengan gambar Suu Kyi.

Di wilayah sempadan iaitu Karen, gambar menunjukkan tentera pemberontak memegang senjata api dan jambangan bunga serta satu bunga diselit di belakang telinga mereka.

Penunjuk perasaan di Dawei, negeri di tenggara Myanmar pula membuat kek hari jadi gergasi dan membawanya bersama ketika tunjuk perasaan.

Suu Kyi masih dikenakan tahanan rumah dan akan tampil di mahkamah sekali lagi, minggu depan.

Dalam pada itu, angka korban akibat konflik di Myanmar sudah mencecah sekurang-kurangnya 870 orang, manakala hampir 5,000 orang ditahan, menurut badan pemerhati tempatan.

Suu Kyi berdepan beberapa pertuduhan termasuk rasuah dan berhubung hasutan.

Ketika perbicaraan kes hasutan dihadapinya pada Selasa lalu, wartawan tidak dibenarkan membuat liputan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Jun 2021 @ 1:07 PM