Prayuth Chan o-cha. FOTO fail AFP
Prayuth Chan o-cha. FOTO fail AFP
BERNAMA

Bangkok: Perdana Menteri Thailand Prayuth Chan o-cha mengesahkan tidak akan menghadiri Mesyuarat Khas Pemimpin Asean Sabtu ini di Jakarta, Indonesia.

Bercakap kepada wartawan pada sidang media di Rumah Kerajaan, Prayuth, merangkap Menteri Pertahanan, berkata Thailand akan diwakili Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Luar Don Pramudwinai.

Prayuth tidak memberikan butiran lanjut alasan ketidakhadirannya ke mesyuarat di Sekretariat Asean itu yang bertujuan mencari jalan penyelesaian pergolakan di Myanmar sejak rampasan kuasa 1 Februari.

Panglima junta Myanmar Jeneral Min Aung Hlaing yang mengetuai rampasan kuasa dijangka menghadiri mesyuarat itu.

Ini adalah lawatan rasmi pertama beliau ke luar negara sejak rampasan kuasa.

Sementara itu, kerajaan bayangan Myanmar - Kerajaan Perpaduan Nasional (NUG) - mendesak pemimpin Asean untuk membenarkan perwakilannya menghadiri mesyuarat di Jakarta itu.

Menteri Luar de facto NUG, Moe Zaw Oo dan lima lagi ahli parlimen yang digulingkan dan pemimpin tunjuk perasaan anti-kudeta serta etnik minoriti berkata, Asean belum menghubungi mereka.

"Sekiranya Asean ingin membantu menyelesaikan situasi Myanmar, mereka tidak akan mencapai apa-apa tanpa mendengar pandangan dan berunding dengan NUG, yang disokong rakyat dan mempunyai hak yang sah di sisi undang-undang," katanya kepada Burma Voice of America.

Myanmar bergolak sejak rampasan kuasa yang menggulingkan kerajaan pimpinan Aung San Suu Kyi, menyaksikan tentera telah membunuh lebih 700 penunjuk perasaan sejak protes anti-kudeta tercetus.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 April 2021 @ 10:11 AM