JAMBANGAN bunga diletak pada foto Mya Thwate Thwate Khaing. Wanita itu terkorban selepas menyertai demonstrasi membantah rampasan kuasa tentera. FOTO AFP
JAMBANGAN bunga diletak pada foto Mya Thwate Thwate Khaing. Wanita itu terkorban selepas menyertai demonstrasi membantah rampasan kuasa tentera. FOTO AFP
AFP

Yangon: Seorang penunjuk perasaan menjadi korban pertama dalam protes membantah rampasan kuasa junta tentera Myanmar.

Mangsa, Mya Thwate Thwate Khaing, 20, dilaporkan terkena peluru getah dilepaskan anggota tentera dan disahkan meninggal dunia semalam akibat kecederaan ke kepala.

Mangsa yang menyambut ulang tahun kelahirannya Khamis lalu, menjadi orang awam pertama maut akibat tindakan tentera yang merampas kuasa di Myanmar, kira-kira dua minggu lalu.

Pada 9 Februari lalu, perhimpunan di Naypyidaw, ibu negara Myanmar bertukar ganas menyaksikan polis melepaskan peluru getah terhadap penunjuk perasaan.

"Ini adalah kes ketidakadilan, kami akan menyimpan catatan (penyebab kematian) dan kami akan mencari keadilan dan terus maju," kata seorang doktor yang enggan dikenali.

Britain semalam mengumumkan sekatan terhadap tiga jeneral kerana 'pelanggaran hak asasi manusia yang serius' atas peranan mereka dalam pasukan keselamatan junta.

Membekukan aset mereka dan mengenakan larangan perjalanan, United Kingdom mengatakan sedang memulakan kajian untuk menghentikan perniagaan dengan tentera.

Kanada menghukum sembilan pegawai tentera Myanmar dan menuduh junta terbabit dalam penindasan sistemik melalui langkah perundangan paksa dan penyalahgunaan kuasa.

"Kanada berdiri bersama rakyat Myanmar dalam mencari demokrasi dan hak asasi manusia," kata Menteri Luar Marc Garneau.

Tindakan ini dilakukan selepas Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden minggu lalu mengumumkan Washington akan menyekat jeneral daripada akses kepada dana berjumlah AS$1 bilion (RM4 bilion) di AS

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Februari 2021 @ 10:19 AM