KEADAAN tunjuk perasaan di Yangon. FOTO AGENSI
KEADAAN tunjuk perasaan di Yangon. FOTO AGENSI
AFP

Yangon: Sekurang-kurangnya 10 terbunuh selepas tentera junta Myanmar melepaskan tembakan ke arah penunjuk perasaan prodemokrasi, hari ini.

Ia turut menahan beberapa wartawan, termasuk jurugambar Associated Press (AP) atas tuduhan jenayah.

Negara berkenaan berada dalam keadaan huru-hara sejak awal Februari lalu selepas tentera mengambil alih pemerintahan dan menahan pemimpin tertinggi, Aung San Suu Kyi.

Tekanan antarabangsa terus memuncak namun junta tentera tidak menghiraukan kecaman yang diterima sebaliknya meningkatkan kekuatan dan perkhidmatan keselamatan melalui kekerasan terhadap penunjuk perasaan.

Empat individu ditembak dalam protes yang diadakan di bandar yang terletak di tengah Myanmar, menurut kakitangan perubatan kepada AFP.

Dua lagi peserta tunjuk perasaan meninggal dunia di Mandalay.

Seorang daripada mangsa ditembak di kepala dan seorang lagi di dada, kata seorang doktor.

Protes yang berlangsung di Myingyan juga bertukar ganas apabila tentera mula menggunakan kekerasan.

"Mereka melepaskan gas pemedih mata, peluru getah dan peluru hidup," kata seorang sukarelawan perubatan di lokasi kejadian yang turut memaklumkan bahawa sekurang-kurangnya 10 individu cedera.

Thet Thet Swe, dari kloinik Myingyan mengesahkan seorang lelaki telah ditembak di kepala dan meninggal dunia.

"Zin Ko Ko Zaw, berusia 20 tahun ditembak dan mati serta-merta.

"Pasukan saya juga membantu merawat 17 lagi mangsa cedera," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Mac 2021 @ 7:48 PM