REN Keyu. FOTO Guinness World Records
REN Keyu. FOTO Guinness World Records
Agensi

Beijing: Dengan ketinggian 221 sentimeter (sm), seorang remaja di China mencatatkan nama di dalam Guinness World Records sebagai remaja lelaki paling tinggi di dunia, lapor The Sun.

Ren Keyu atau dikenali sebagai Xiaoyu diiktiraf dengan gelaran itu ketika menyambut ulang tahun kelahirannya ke-14, pada 18 Oktober lalu.

Dia yang berasal dari Leshan di wilayah Sichuan, mempunyai ketinggian 150sm ketika zaman kanak-kanaknya dan dianggap seusia dengan pelajar sekolah tinggi.

Hairan dengan ketinggian luar biasa yang dimiliki, keluarganya membawa dia ke hospital beberapa kali untuk pemeriksaan.

Doktor pada awalnya menjangkakan dia mengalami gigantisme iaitu gangguan pertumbuhan yang menyebabkan kanak-kanak membesar terlampau tinggi.

Namun, jangkaan itu meleset kerana dia tidak mempunyai sebarang penyakit, malah hormon badannya juga didapati normal.

Dia juga yakin ketinggian dimiliki adalah semula jadi memandangkan neneknya mempunyai ketinggian 175 sm, abangnya (190 sm) dan bapanya (melebihi 180 sm).

Dengan saiz luar biasa itu, keluarga terpaksa membina meja, kerusi dan peralatan khusus untuk Xiaoyu di rumahnya.

Bukan itu saja seperti individu lain yang mempunyai saiz luar biasa, pakaian, tempat tidur dan kasut juga perlu ditempah khas.

Biarpun sering diberi tumpuan kerana kelebihan fizikal ada juga masalah yang menimpanya kerana kepalanya sering terhantuk ketika menggunakan pengangkutan awam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Disember 2020 @ 6:31 AM