KANDANG tempat tinggalnya bersama lembu dan haiwan lain. FOTO Agensi
KANDANG tempat tinggalnya bersama lembu dan haiwan lain. FOTO Agensi
Agensi

MOSCOW: Seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun diumpamakan seperti Mowgli kerana menyalak, melolong dan merangkak seperti haiwan ketakutan ketika ditemui di tepi jalan selepas dia melarikan diri dari sebuah sangkar di Oryol, Russia.

Daily Mirror melaporkan, kanak-kanak berkenaan dikenali sebagai Diana dijual kepada seorang pedofilia oleh ibunya bernama Madina, 38, semata-mata untuk mendapatkan arak.

Menurut laporan, kanak-kanak itu menyalak dan langsung tidak boleh bercakap, tidak dapat berjalan atau berdiri tegak selain tidur di atas lantai manakala mukanya kelihatan separuh umur sebenarnya.

Polis mendakwa ibu mangsa memaksanya tinggal di dalam sangkar dan di sebuah kandang usang bersama lembu semasa musim panas, dikunci di dalam bilik ketika musim sejuk dan tidak menggunakan peralatan makan seperti sudu serta garfu.

Dipercayai dia juga tinggal bersama haiwan lain seperti anjing, itik dan ayam di perkampungan di Luka Zhuravinka, dekat Oryol.

Ibu beranak lapan itu dilaporkan menafikan dakwaan berkenaan dan polis kini menyiasat kes berkenaan atas tuduhan penderaan dan pengabaian.

Bapa mangsa dari Belarus dilaporkan mati pada awal tahun ini.

GAMBAR kanak-kanak itu tidur meringkuk di hospital. FOTO Agensi
GAMBAR kanak-kanak itu tidur meringkuk di hospital. FOTO Agensi

The Oryol Times yang memetik sebuah hospital melaporkan, mangsa didakwa menderita keletihan dan kini dirawat.

“Adik-beradik mangsa sudah diambil pihak berkuasa penjagaan sebelum ini. Tetapi, ibunya berjaya menyembunyikan mangsa yang juga anak kelapan di dalam sangkar dan membawa mangsa di dalam beg beroda untuk pergi ke mana-mana.”

Menurut pakar perubatan hospital Lyudmila Krylova, mangsa kini dalam penjagaan polis dan ibunya diberi bantuan.

Menurut polis, ibu mangsa terlepas daripada tuduhan melakukan jenayah dan dia bersama jirannya menafikan dakwaan melakukan perhambaan seksual ke atas kanak-kanak itu.

REN TV yang memetik Madina berkata, dakwaan mengatakan dia menjual anaknya kepada pedofilia untuk sebotol arak adalah salah dan mengarut.

“Kanak-kanak itu ‘sakit’ dan tiada apa-apa yang dapat saya lakukan,” katanya.

Media Russia menunjukkan gambar kanak-kanak itu tidur dalam keadaan meringkuk dan enggan tidur di atas katil di hospital.

Dia menerkam makanan, menelannya dengan cepat, meludahnya dan cuba memakannya sekali lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Oktober 2019 @ 8:44 AM