SULAMENA Abdul Samed. FOTO Agensi
SULAMENA Abdul Samed. FOTO Agensi
Agensi

Accra: Seorang lelaki di Ghana menjadi perhatian ibarat selebriti di kampungnya kerana mempunyai ketinggian luar biasa.

Portal BBC melaporkan, Sulamena Abdul Samed, 29, atau dikenali sebagai Awuche direkodkan mempunyai ketinggian 2.24 meter (m).

Ini bermakna Awuche 0.3 m lebih pendek berbanding lelaki tertinggi di dunia masih hidup, Sultan Kosen dari Turki yang mendapat pengiktirafan Rekod Dunia Guiness (GWR).

Awuche mempunyai ketinggian luar biasa kerana menghidap gigantisme iaitu gangguan pertumbuhan yang menyebabkan seseorang menjadi sangat tinggi dan besar.

Difahamkan, sebuah hospital tempatan di Ghana Utara pada mulanya mengesahkan Awuche mencapai ketinggian 2.89 m sebelum mendapati klinik desa itu tidak mempunyai alat pengukur yang betul.

Seorang wartawan BBC menggunakan pita pengukur untuk mengukur ketinggian lelaki itu.

"Cara mereka mengukur saya, saya tidak boleh mengatakan semuanya sempurna," kata Awuche kepada BBC.

Pita pengukur merekodkan bacaan 2.24 m.

"Jadi apa maksudnya?" soal Awuche sambil mengukir senyuman.

"Lelaki paling tinggi yang masih hidup ialah 2.5 m tinggi, dia hampir 0.305 m lebih tinggi daripada kamu," jawab wartawan itu.

Dia merujuk kepada Sultan Kosen yang berusia 40 tahun di Turki dan memegang gelaran lelaki tertinggi di dunia.

Menjawab kepada lelaki itu, Awuche berkata: "Saya masih meningkat tinggi. Mana tahu, mungkin suatu hari nanti saya juga boleh mencapai ketinggian itu."

"Setiap tiga bulan dalam empat bulan saya membesar. Jika kamu tidak melihat saya selama tiga atau empat bulan, kamu akan menyedari saya semakin tinggi."

Impian Awuche adalah melakukan pembedahan plastik selepas wangnya mencukupi.

Ia kerana dia juga mempunyai masalah kulit pada sebelah kaki, buku lali dan kaki yang disebabkan oleh pertumbuhan berlebihan anggota badan.

"Ditakdirkan Allah memilih saya, saya okey. Saya tidak mempunyai masalah dengan cara Tuhan mencipta saya," katanya kepada BBC.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 January 2023 @ 12:47 PM