REN Bao (dua kanan) ketika di Tour of Thailand. FOTO THAICYCLING ASSOCIATION
REN Bao (dua kanan) ketika di Tour of Thailand. FOTO THAICYCLING ASSOCIATION
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Walaupun hanya menduduki tempat kesembilan daripada 15 pasukan yang mengambil bahagian di Tour of Thailand (ToT) minggu lalu, jurulatih skuad berbasikal lebuh raya negara, Yusof Nasir tetap berpuas hati dengan prestasi anak buahnya terutama Tsen Ren Bao.

Menurut Yusof, selepas berakhir perlumbaan enam peringkat berkelas 2.1 itu, dia mengakui banyak perlu diperbaiki terutama dari segi keserasian dalam pasukan terutama membabitkan Ren Bao.

"Boleh dikatakan Ren Bao adalah pelumba terbaik dalam pasukan selepas menduduki tempat ke-10 keseluruhan (pelumba terbaik Malaysia) dan ranking nombor satu bagi umur bawah 23 tahun (remaja)," kata Yusof.

Ren Bao anak kepada bekas pelumba kebangsaan, Tsen Seong Hoong, mula menunjukkan taring ketika beraksi di Kejohanan Kebangsaan bulan lalu selepas meraih perak dalam saingan ujian masa bawah 23 tahun.

"Dari segi pengalaman dia masih kurang berbanding pelumba senior, Muhsin Al Redha Misbah dan Afiq Huznie Othman, tetapi dia ada kekuatan selepas berpangkalan di Brisbane, Australia belajar, bekerja dan berlatih di sana.

"Mungkin kita akan membiasakannya dengan laluan Le Tour de Langkawi (LTdL) selepas ini, selain memberi pendedahan di perlumbaan luar seperti di Tour de Banyuwangi Ijen di Indonesia Julai depan," katanya.

Tambah Yusof perlumbaan di Banyuwangi banyak laluan berbukit dan disitulah dia akan sekali lagi menguji Ren Bao bersama Muhsin dan Afiq.

Skuad berbasikal lebuh raya kebangsaan akan berehat untuk sambutan Aidilfitri dan menyambung semula latihan seminggu kemudian.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 April 2024 @ 3:21 PM