GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Agensi

Beijing: Seorang gadis berusia 18 tahun dari wilayah Sichuan yang menjadi sangat taksub dengan teman lelakinya hingga sanggup menjejaki setiap pergerakan dan membuat panggilan 100 kali sehari akhirnya didiagnosis dengan gangguan mental dikenali 'love brain' atau 'otak cinta'.

Oddity Central melaporkan tingkah laku gadis bernama Xiaoyu itu menjadi tidak menentu selepas jatuh cinta dengan seorang lelaki yang tidak didedahkan identiti pada tahun pertamanya di universiti.

Outlet China Yueniu News baru-baru ini melaporkan sikap taksub Xiaoyu itu menyebabkan kehidupan mereka umpama mimpi ngeri.

Menurut doktor di The Fourth People's Hospital of Chengdu, Dr Du Na berkata sikap taksub Xiaoyu terhadap teman lelakinya amat luar biasa sehingga ini ingin mengetahui keberadaan pasangannya setiap masa dan panik sekiranya lelaki itu tidak membalas mesejnya dengan segera.

"Bunyi seperti kelakuan biasa, tetapi hasil diagnosis yang dilakukan oleh doktor, Xiaoyu mengalami gangguan mental yang jarang dipanggil 'love brain'.

"Mengikut rekod, Xiaoyu pernah menghubungi teman lelakinya lebih daripada 100 kali. Dia menjadi sangat marah apabila panggilannya itu tidak dijawab sehingga tergamak menghancurkan segala-galanya di apartmen mereka.

"Apabila teman lelaki Xiaoyu pulang ke rumah dan melihat kejadian, dia menghubungi polis, namun wanita itu mengugut untuk terjun dari balkoni," katanya.

Xiaoyu akhirnya ditahan polis dan kemudian dibawa ke hospital, dan dia didiagnosis mengalami gangguan personaliti sempadan yang dikenali sebagai 'love brain'.

Dr Du Na berkata, individu yang mengalami gejala 'love brain' ringan biasanya boleh pulih dan menjalani kehidupan normal dengan hanya belajar mengawal emosi mereka.

Tetapi katanya, dalam kes yang teruk seperti Xiaoyu, bantuan perubatan diperlukan.

Walaupun Dr Du Na tidak dapat mengenal pasti dengan tepat punca keadaan Xiaoyu, beliau berkata 'love brain' biasanya berlaku kepada mereka yang tidak rapat atau mempunyai masalah hubungan dengan ibu bapa ketika membesar.

Kisah Xiaoyu menjadi tular di media sosial China dan mencetuskan perdebatan mengenai kesihatan mental dan stigma di sekelilingnya, serta punca sebenar mengawal tingkah laku dalam hubungan percintaan.

"Otak cinta kedengaran mengerikan," seseorang mengulas mengenainya di Douyin, TikTok versi China.

"Saya tertanya-tanya adakah saya mempunyai otak cinta? Saya rasa saya bertindak seperti dia," tulis orang lain.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Mei 2024 @ 1:57 PM